BeritaPendidikan

Baharu graduat perlu elak tambah liabiliti – Raja Muda Perlis

ARAU 29 Nov. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya mereka yang baharu sahaja bergraduat mengelakkan diri daripada menambah liabiliti di awal kerjaya supaya dapat mengimbangkannya dengan kos sara hidup semasa.

Titah Baginda, jangan kerana mahu menunjukkan sudah berjaya maka perlu berhutang besar untuk membeli barangan kehendak diri seperti kereta mewah yang akhirnya boleh merugikan diri sendiri.

Baginda bertitah, adalah lebih baik memasang impian untuk membeli rumah atau tanah kerana nilai kedua-dua aset ini akan meningkat saban tahun.

Dalam titah itu, Baginda juga menasihatkan, tidak perlulah lagi menghabiskan pendapatan dengan barangan berjenama sehingga menyebabkan terpaksa meminjam daripada orang lain.

“Belajarlah untuk berhemah dalam perbelanjaan supaya anda memiliki simpanan yang mencukupi bagi menampung kehidupan, andai berlaku sesuatu yang tidak diingini kelak,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen 17 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, Arau, semalam.

Raja Muda selaku Tuanku Canselor berkenan menganugerahkan folder-folder Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Dengan Kepujian) Kejuruteraan Mikroelektronik, Komputer, Elektronik Bioperubatan, Elektronik, Perhubungan, Fotonik dan juga Rangkaian Komputer kepada seramai 411 orang graduan di majlis tersebut.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli. – SM

(Visited 90 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button