Berita

Raja Muda Perlis titah masyarakat jaga kebajikan haiwan

Sama-samalah kita menjaga kebajikan haiwan peliharaan serta haiwan di sekeliling kita agar ianya terus mendapat perhatian dan simpati dari manusia yang mempunyai akal serta fikiran yang waras.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menerusi titah perutusan sempena dengan ‘World Animal Day’ yang disambut pada hari ini 4 Oktober setiap tahun di seluruh dunia.

Tema World Animal Day bagi tahun 2021 adalah ” Forests and Livelihoods : Sustaining People and Planet” yang antara lain membawa makna keperluan manusia sejagat mencari satu titik persamaan agar manusia, haiwan, tumbuhan dan lain- lain kehidupan dapat hidup bersama dalam keadaan harmoni.

Sementara itu, menyentuh mengenai ‘Hari Rabies Sedunia’ yang disambut pada 28 September setiap tahun baru-baru ini dengan tema ‘Rabies : Facts Not Fear’ yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan bahaya penyakit Rabies ini dan cara- cara mengawal dan mencegah melalui vaksinasi pula, Tuanku Raja Muda berkongsi info bahawa Penyakit Rabies atau ‘Anjing Gila’ boleh dikawal melalui langkah awalan pencegahan dan rawatan pembersihan pada luka gigitan di samping segera mendapatkan rawatan di hospital.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis, ‘Difahamkan setakat sekarang ini Malaysia belum bebas dari penyakit berkenaan. Walaupun Rabies adalah penyakit yang dapat dicegah 100% melalui pemvaksinan anjing dan kucing namun menurut rekod lebih dari 59,000 orang maut akibat penyakit ini di seluruh dunia pada setiap tahun.’


Sebagai maklumat umum, penyakit Rabies ini disebarkan melalui virus Lyssavirus bersifat zoonotik yakni mampu menjangkiti manusia dan haiwan dengan menyerang saraf serta sistem neurologi. Ia menjangkiti manusia melalui luka gigitan anjing yang dijangkiti Rabies dan melalui luka yang terdedah dengan air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti.

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button