Nasional

ATM bersedia berdepan ancaman pengganas CBRNe

 

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 24 Mac – Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt. Jen. Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) kini sudah bersedia menghadapi ancaman pengganas dengan pengunaan agen kimia,
biologi, radiasi, nuklear dan expolsive (CBRNe).

Menurutnya, ancaman CBRNe semakin luas digunakan oleh pengganas di seluruh dunia dan Malaysia tidak
terkecuali bakal berdepan ancaman tersebut.

Tentera Darat Malaysia (TDM) katanya, sudah bersiap-siaga menghadapi ancaman tersebut dengan latihan
khusus berdepan situasi berkenaan selain menggunakan peralatan berteknologi tinggi.

Sehubungan itu kata beliau, Eksesais Mantis Siri 8/2022 selama tiga bulan bersama Angkatan Tentera Kanada
(ATK) menerusi Pasukan Operasi Khas Kanada (CANSOFCOM) yang berakhir hari ini adalah medium terbaik
berjaya menguji kompetensi anggota dalam menangani ancaman penganas menggunakan senjata CBRNe.

“Hasil daripada eksesais yang diadakan ini diharap dapat meningkatkan keupayaan TDM dalam menghadapi
ancaman pengganas yang melibatkan penggunaan unsur-unsur CBRNe dengan lebih berkesan.

“Selain mempelajari taktik, teknik dan prosedur menangani ancaman tersebut, peserta eksesais juga
didedahkan kepada perkembangan teknologi terkini menerusi penggunaan peralatan-peralatan yang canggih
digunakan.

“Selain itu, TDM dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Tentera Darat Kanada yang telah
dilaksanakan setiap tahun sejak 2015 dan ini telah memasuki siri yang kelapan untuk tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Eksesais Mantis Siri 8/2022 di
Padang Pavilion, Kem Terendak di sini hari ini yang turut dihadiri Duta Kanada ke Malaysia, Wayne Robson.

Eksesais tersebut telah bermula pada 25 Januari lalu melibatkan trup Tentera Darat (TD) iaitu 21 Grup
Gerak Khas (21 GGK), Pasukan 12 Skn Rejimen Askar Jurutera Darat (RAJD) dan pasukan Perubatan ATM.

Mohammad berkata, seramai 21 pegawai dan 119 anggota antara kedua-dua tentera Malaysia dan Kanada
menyertai latihan eksesais berkenaan di beberapa lokasi di negeri ini termasuk di Kuala Lumpur sepanjang
tempoh tiga bulan bermula Januari lalu.

Menurutnya, eksesais tersebut adalah kesinambungan daripada memorandum persefahaman (MoU) kerjasama
keselamatan yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara pada 2013.

Jelasnya, latihan bilateral itu juga membolehkan Malaysia dan Kanada meneruskan hubungan pertahanan dan
keselamatan yang mantap serta semakin berkembang untuk meningkatkan keupayaan operasi menentang keganasan
ancaman CBRNE.

Katanya, tempoh bagi pelaksanaan latihan bilateral Eksesais Mantis itu telah disambung sehingga tahun
2024.

(Visited 389 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button