Nasional

Khairat kematian RM1,000 boleh dituntut penerima BSH

TIMBALAN Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berhak mendapat bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000.

Melalui satu kenyataannya, Abdul Rahim berkata, tuntutan itu boleh dibuat melalui pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, Abdul Rahim juga berkata, penerima BSH secara automatik mendapat MySalam iaitu skim perlindungan sosial kesihatan bagi meringankan beban perubatan ditanggung sekiranya dikenal pasti mempunyai antara 45 jenis penyakit kritikal.

“Antara faedah perlindungan ialah RM8,000 akan dibayar kepada mereka yang didiagnosis oleh hospital dan pusat perubatan bertauliah bagi 45 jenis penyakit kritikal.

“Mereka juga berhak dilindungi apabila dimasukkan ke hospital dengan perolehan RM50 sehari bagi tempoh 14 hari (dua minggu) sebagai meringankan beban kewangan semasa sakit,” katanya.

Tambah beliau, penerima BSH di luar bandar dan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, perlu mendapat maklumat mengenai pelbagai lagi faedah sampingan daripada kerajaan Persekutuan yang boleh dimanfaatkan bagi meringankan beban.

Kata Abdul Rahim lagi, masih ramai penduduk yang layak di kawasan berkenaan, belum menerima bantuan BSH terutama dalam kalangan mereka yang tidak memiliki akaun bank.

Justeru Abdul Rahim berkata, Kementerian Kewangan akan melaksanakan beberapa kaedah baharu bagi menyampaikan bantuan tunai kepada penduduk di kawasan terbabit, selain program turun padang dilakukan oleh Jabatan Perbendaharaan dan LHDN.

Ini termasuk menambah kiosk mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional serta melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen BSN sebagai kemudahan penduduk luar bandar, kata Abdul Rahim melalui kenyataan yang sama. – SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button