Ekonomi

Alipay bekerjasama dengan PayNet bagi perluaskan bayaran rentas sempadan terutama untuk pengembara

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Ant Group baru-baru ini telah, menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) yang antara lain untuk memudahkan lebih ramai pengembara Asia ke
Malaysia akan dapat menikmati pengalaman pembayaran digital yang lancar di lebih 1.8 juta rakan
niaga di seluruh negara.

Manakala penduduk Malaysia juga akan dapat membayar dengan e-dompet negara asal mereka di luar negara.

Menjelang akhir tahun ini, pengguna lima e-dompet Asia yang terkemuka, termasuk AlipayHK (Hong Kong SAR), GCash (Filipina), Kakao Pay (Korea Selatan) dan TrueMoney (Thailand), akan dapat menikmati pembayaran tanpa tunai menerusi Alipay+ apabila berkunjung ke Malaysia, dengan mengimbas QR DuitNow.

Alipay+ merupakan penyelesaian pembayaran dan pemasaran digital rentas sempadan global yang dikendalikan oleh Ant Group. Lebih banyak e-dompet dijangka akan turut serta dalam beberapa bulan akan datang.

DuitNow QR merupakan Piawaian QR Kebangsaan Malaysia dikendalikan oleh PayNet, yang membolehkan rakan niaga menerima pembayaran daripada pelanggan dari pelbagai bank dan pengendali e-dompet yang terlibat menerusi satu kod QR universal.

Di samping itu, kerjasama berkenaan akan membolehkan e-dompet di Malaysia yang disokong PayNet diterima oleh rangkaian rakan niaga Alipay+ di seluruh dunia pada tahun 2024.

Selain pembayaran, Ant Group dan PayNet akan bekerjasama dalam usaha pemasaran digital bersama bagi meningkatkan ketelusan perniagaan secara langsung dalam e-dompet pengguna.

Ketua Pegawai Komersial PayNet Gary Yeoh berkata, jalinan kerjasama antara PayNet dan Alipay+ adalah tepat pada waktunya, kerana perjalanan dan pelancongan luar negara bukan sahaja telah kembali sepenuhnya, malah semakin meningkat.

“Pengguna dan peniaga di kedua-dua negara yang sudah biasa dengan pembayaran digital, mengharapkan pengalaman yang sama lancar dan mudah apabila berkunjung ke luar negara.

“Mereka juga mengharapkan ini dijalankan pada kadar pertukaran yang kompetitif. Justeru, kerjasama ini akan memenuhi kedua-dua keperluan ini.

“Memandangkan Malaysia telah lama menjadi destinasi kegemaran dan popular dalam kalangan pelancong Asia  dan  begitu juga sebaliknya, kerjasama ini dijangka akan memacu pertumbuhan perdagangan lebih tinggi antara negara-negara jiran.

“Kita sememangnya sedang menyaksikan pertumbuhan pesat dalam pembayaran antarabangsa yang lancar secara besar-besaran, yang lebih awal daripada dijangka. Cuma tunggu masa sahaja,” katanya.

Kerjasama itu terjalin di tengah-tengah pemulihan perjalanan ke Malaysia, dengan 4.5 juta ketibaan pelancong pada suku pertama 2023, yang kebanyakannya datang dari negara ASEAN.

Malaysia dijangka akan mencapai sasaran 16.1 juta ketibaan pelancong pada 2023 dan menjana lebih RM49
bilion hasil pelancongan.

Dengan perjalanan kembali rancak, perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan tabiat digital baharu, khususnya penerimaan pilihan pembayaran digital tempatan seperti e-dompet, yang kini telah menjadi lumrah dalam urus niaga harian.

Pengguna Asia Tenggara akan terus memacu penerapan pembayaran kod QR, yang dijangka akan bertumbuh 590% menjelang 2028 2 .

Negara-negara Asia yang lain seperti Korea Selatan juga akan menyaksikan penerapan pembayaran kod QR yang semakin rancak.

Pengurus Besar Perkhidmatan Pedagang Luar Talian Alipay+ di Ant Group, Dr. Cherry Huang, berkata, kerjasama Alipay+ dengan PayNet merupakan satu perkembangan penting bagi pengembara serantau.

“Kami sedang bergabung usaha untuk menyatukan perniagaan tempatan dengan pengunjung antarabangsa, dengan menawarkan bukan sahaja kemudahan kepada pelancong, tetapi juga lebih peluang dan ketelusan untuk perniagaan di Malaysia.

“Pengembara hari ini mempunyai harapan yang lebih tinggi semasa mengembara, khususnya dalam penggunaan
penyelesaian digital untuk meningkatkan pengalaman mereka. Mereka mengharapkan lebih kemudahan dan kurang kerumitan.

“Jadi, menerusi kerjasama dengan rakan-rakan kongsi tempatan kami, inilah apa yang ingin kami capai – pengalaman yang diperibadikan, lancar dan tanpa sempadan,” katanya.

Alipay+ merupakan satu set penyelesaian pembayaran dan pemasaran digital rentas sempadan global yang direka untuk membolehkan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, bagi memproses pelbagai kaedah pembayaran mudah alih dan mencapai lebih satu bilion pengguna serantau dan global, menerusi integrasi satu-kali dan penyesuaian teknikal yang mudah.

Selain Malaysia, Alipay+ juga diterima secara meluas di destinasi seperti China, Macao SAR, Singapura,
Thailand, Jepun dan Korea Selatan, dan sebagainya. – SM

(Visited 96 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button