Mahkamah

Akhirnya lima termasuk empat beradik cemar Sg. Gong dibenar ikat jamin

SELEPAS lapan hari menghuni penjara Bentong, akhirnya lima lelaki termasuk empat beradik yang didakwa melakukan pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang, Selangor bebas apabila masing-masing dibenarkan ikat jamin RM400,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Perkara itu diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Norsharidah Awang selepas menimbangkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh pasukan pendakwaan dan pembelaan.

Lima tertuduh itu ialah empat pengarah sebuah syarikat yang juga adik-beradik Yip Kok Wai, 52, Yip Kok Mun, 58, Yip Kok Kuin, 50, dan Yip Kok Weng, 60, serta seorang pengurus syarikat yang sama, Ho Voon Leong, 59.

“Selepas mengambil kira faktor kesihatan, keseriusan kes, kebarangkalian gangguan terhadap saksi dan kes menarik perhatian awam, mahkamah memberikan perintah berikut, pertama kelima-lima tertuduh diikat jamin masing-masing RM400,00 dengan seorang penjamin.

“Kedua, pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan ketiga sekiranya tertuduh melakukan kesalahan semasa tempoh ikat jamin, mahkamah akan menarik balik jaminan,” kata Norsharidah ketika prosiding permohonan semakan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang tidak membenarkan ikat jamin ke atas kelima-lima tertuduh.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah dan Noor Husnita Mohd. Radzi manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader. – SM

(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button