fbpx
Nasional

Ahli politik jangan angkuh, Sultan Johor akan sentiasa di pihak rakyat

ulama

BERDASARKAN perkembangan terkini senario politik di Johor, adalah wajar diingatkan kepada ahli-ahli politik – janganlah cuba untuk bersifat angkuh dengan DYMM Tuanku Sultan Johor.

Undang-undang Tubuh Negeri Johor sudah terang lagi bersuluh menyebut, DYMM Tuanku Sultan Johor mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa.

Sultan Johor.

Baginda berkuasa membubarkan Dewan Negeri Johor mengikut Fasal 23(2) bahagian kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.


Ia dengan jelas sekali meyatakan bahawa “Raja boleh menangguhkan atau memansuhkan Dewan Negeri”.

Sebelum ini memang Menteri Besar menasihatkan Tuanku bila masa yang sesuai untuk membubarkan DUN. Tetapi sejak 2018, Johor sudah mempunyai tiga orang Menteri Besar.

Sidang DUN Johor yang dijadual berlangsung Khamis 14 Mei minggu depan diuar-uarkan akan tercetus ketegangan berikutan kedudukan tipis parti kerajaan Perikatan Nasional (PN)-pembangkang Pakatan Harapan (PH) dalam posisi 29-27.

Sidang DUN itu dikatakan menjadi medan ujian terbesar buat menteri besar yang baharu dari UMNO, Datuk Ir Hasni Mohammad sejak beliau mengangkat sumpah jawatan 28 Februari lalu.

Ini ekoran ada pihak-pihak nakal menjolok konon ‘rekod MB terpendek Johor boleh pecah lagi’.

Sultan Johor.

Untuk rekod, bekas Menteri Besar Johor dari Parti BERSATU, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga ADUN Bukit Kepong menduduki tampuk pentadbiran negeri selama 10 bulan bermula 14 April 2019.

Beliau sebelum itu menggantikan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang dilantik jawatan tersebut pada 12 Mei 2018 dan mentadbir selama 11 bulan sehingga 9 April 2019.

Inilah akibatnya apabila orang politik hanya memikirkan kepentingan diri dan parti yang diwakili tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

Sudah tentulah pertukaran tiga Menteri Besar yang kerap menjadikan kerajaan tidak stabil umpama tiga orang nakhoda kapal silih berganti untuk sampai ke satu-satu destinasi.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan pemimpin PN Johor di Putrajaya.

Antara yang dilaporkan hadir pada pertemuan itu ialah Hasni, Pengerusi Pimpinan BERSATU Johor Mazlan Bujang, Osman; Dr Sahruddin dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali.

Dalam berdepan kemelut politik Johor, DYMM Tuanku Sultan sudah tentu amat tidak berkenan dengan perangai orang politik yang angkuh sehingga mengganggu kelancaran urusan pentadbiran kerajaan.

Sultan Johor.

Kesan daripada sikap ahli politik yang mementingkan agenda peribadi akan menyebabkan rakyat Johor secara keseluruhannya menjadi mangsa.

Ini kerana ekonomi negeri Johor dan kesejahteraan rakyat tidak dipacu dengan baik akibat daripada persengketaan ahli politik yang tidak berkesudahan.

Justeru, janganlah sesiapa ahli politik negeri ini cuba-cuba bersifat angkuh seolah-olah mencabar kuasa Sultan Johor.

Baginda Tuanku akan sentiasa berpihak kepada rakyat.

Sekiranya perbalahan ahli politik masih berterusan, Tuanku Sultan tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa seperti yang termaktub untuk membubarkan DUN negeri Johor seterusnya mengadakan Pilihan Raya Negeri.

Seandainya perkara ini berlaku, terpulang kepada rakyat Johor untuk memilih pemimpin yang terbaik dari kalangan mereka.

DYMM akan sentiasa berada di pihak rakyat dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Daulat Tuanku.

Allah Peliharakan Sultan. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button