fbpx
Nasional

Agong seru Ahli-ahli Dewan Rakyat sokong Belanjawan 2021

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 demi kelangsungan hidup rakyat dan pemulihan ekonomo negara yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat, adalah amat penting kepada Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan.

“Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang
gangguan.

“Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini,” katanya.


Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Jelasnya, dalam sesi yang bermula pukul 8 pagi tadi, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Tambahnya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini. -SM

 

Show More

Related Articles

Back to top button