AgamaNasional

Agong perkenan Jemaah Menteri sembah cadangan kalimah “Allah”

JEMAAH Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan berhubung penggunaan kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana menteri dalam kenyataannya hari ini berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan mengandungi kalimah “Allah”.

“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

“Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

“… dan pada masa sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan pada 18 April lalu menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.

Bagaimanapun, Anwar semalam dilaporkan berkata, keputusan kes penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran adalah khusus untuk Sarawak.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata KDN tidak berhak menarik balik rayuan penggunaan kalimah “Allah” tanpa merujuk pihak berkuasa agama serta Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama.

Sementara itu, Anwar menambah kerajaan dipimpinnya menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat-kuasa berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.

“Kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” katanya. – SM

BACA Kalimah Allah, kerajaan sepatutnya teruskan rayuan-Muhyiddin

BACA KDN tak berhak tarik rayuan kalimah Allah tanpa rujuk Majlis Raja-Raja

(Visited 306 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button