Nasional

Kes kematian dalam tahanan tidak lagi disiasat pegawai penyiasat IPD

SEMUA kes kematian dalam tahanan polis akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman mulai tahun 2022.

Jelas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said kes berkenaan tidak lagi menjadi tanggungjawab anggota atau pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) di mana sesuatu kejadian itu dilaporkan.

Keputusan itu diambil agar ia dapat memastikan ketelusan siasatan berkaitan kes dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang serta salah laku tatatertib.

Mengulas mengenai pertanyaan Senator Datuk Bobbey Suan, tentang langkah pencegahan yang diambil bagi mengatasi bilangan kes kematian dalam tahanan, Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyediakan garis panduan standard lebih ketat termasuk dalam menguruskan tahanan yang sakit, meningkatkan kekerapan rondaan pada waktu malam dan menambahkan anggota yang menguruskan tahanan.

“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan 684 lokap polis, IPD dan ibu pejabat kontinjen PDRM sedang dilaksanakan bagi mengawasi dan memantau Orang Kena Tahan (OKT) untuk memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini” katanya.

Menurut statistik yang dipetik daripada BERNAMA, sebanyak 17 kes kematian dalam tahanan polis dillaporkan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, mencatatkan kematian di Selangor sebanyak tujuh kes, enam kes di Pahang, dua kes di Johor dan masing-masing satu kes di Kedah dan Perak.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2020, jumlah kematian dalam tahanan polis melibatkan 16 tahanan iaitu di Pahang merekodkan sembilan sembilan kes, Terengganu dua kes, dan masing-masing satu kematian di Perlis, Perak, Melaka, Johor dan Sabah.

“Tahanan di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021, sebanyak 113 kematian tahanan di depot imigresen dilaporkan membabitkan 53 orang pada 2020 manakala sehingga Jun 2021 melibatkan 60 orang. Sementara sehingga 15 Mac lepas, sebanyak 27 kematian disebabkan Covid-19 dilaporkan” katanya.

Bagi jumlah kematian dalam penjara, Ismail berkata 12 Kematian dilaporkan pada tahun lepas dengan tujuh kematian banduan direkodkan di Penjara Kluang, Johor dan masing-masing satu kematian di Penjara Sungai Udang, Melaka; Penjara Simpang Renggam, Johor; Penjara Bentong, Pahang; Penjara Wanita Kajang, Selangor; dan Penjara Satelit Kuala Kangsar, Perak. — BERNAMA — SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button