Itu masalah PH, jangan salahkan pembangkang
KUALA TERENGGANU – Masalah yang timbul dalam Pakatan Harapan (PH) jika hingga membawa kepada keruntuhan, itu adalah masalah sendiri dan tidak ada kena mengena dengan pembangkang.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, keutamaan UMNO adalah memperkukuhkan hubungan dengan Pas dan bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Sekarang kita sedang buat persiapan untuk PRU dan kalau ada masaah yang datang lebih awal (kepada PH), itu adalah masalah PH… bukan masalah pembangkang.
“Isu pintu belakang, PH tutuplah pintu belakang… jangan buka. Kalau buka, ikut tingkap pun orang masuk tapi itu tetap masalah mereka, bukan masalah kita. PH patut lihat parti mereka sendiri.
“Yang penting kita mahu bersama dengan PAS membina penyatuan ummah, membina pasukan yang kuat dan mahu mengambil alih kerajaan dalam PRU akan datang,” katanya kepada media selepas menjayakan program penyatuan ummah peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri di sini.
Annuar berkata , PH tidak akan bermasalah jika mereka menjaga kerajaan dengan baik dan tidak menimbulkan kebencian dihati rakyat.