DEWAN sejuk. Letih sebab bersidang hingga lewat malam. Alasan yang tidak masuk akal!
Kepada Ahli Parlimen, tolong jangan lagi memberi alasan yang kebudak-budakkan.
Tolonglah! Tolong faham tugas dan peranan anda. Tolong jangan merendahkan ‘akal’ anda.
Parlimen bukan baru wujud. Sebelum ini, ketika menjadi pembangkang, tidak berbangkit pun isu.
Selepas duduk di pihak kerajaan, itu pun belum sampai sepenggal, macam-macam komplen.
Kenapa baru sekarang? Sudah selesa sangat kah dengan kedudukan anda sebagai pihak kerajaan?
Jangan dicari masalah. Rakyat mengharapkan masalah yang membelenggu hidup mereka diselesaikan segera, bukan menambah masalah.
Banyak lagi perkara dalam senarai manifesto pilihan raya umum lalu belum direalisasikan.
Harga petrol RM1.50 seliter, harga barangan turun, tol dihapuskan, peluang pekerjaan dan segala macam kata-kata manis diberikan. Mana?
Tup-tup Dewan Rakyat kosong. Hanya kerana sejuk, ‘kami’ tidak dapat berada lama dalam Dewan. Sebab banyak sangat isu dibincangkan, bangun pagi dan balik lewat malam, ‘kami’ letih!
Hahaha. Lawak jenaka apakah ini?
Sudah tahu sejuk, kalau tidak mahu pakai pakaian tebal, sarankanlah kepada pihak pengurusan Parlimen supaya dinaikkan suhu pendingin hawa. Susah-susah tutup saja aircond.
Dan kalau setiap hari pulang lewat malam, berbincanglah perkara-perkara penting sahaja. Isu-isu peribadi dan kepentingan parti tolak tepi.
Dewan Rakyat adalah untuk membincangkan masalah-masalah rakyat dan negara, supaya manfaatnya dinikmati bersama, bukan terjerit-terlolong bergaduh tak tentu fasal dan akhirnya masa berharga yang ada terbuang begitu sahaja.
Bagi rakyat yang meletakkan harapan menggunung kepada Ahli Parlimen, mereka hanya mahukan masa depan yang lebih terjamin.
Sekiranya tanggungjawab asas ini tidak mampu dipikul, silalah letak jawatan atau kosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada orang lain untuk ikhlas melakukannya.
Artikel ini merujuk kepada alasan Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul yang menjadikan ‘letih’ sebagai alasan kekurangan kehadiran Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang menjadikan ‘sejuk’ sebagai penyebab tidak ramai wakil rakyat mampu duduk lama atau sepanjang persidangan berlangsung.