NasionalParlimen

Sistem eKasih dibangunkan untuk rekod pangkalan data kemiskinan nasional – PM

KERAJAAN telah membangunkan Sistem eKasih sebagai pangkalan data kemiskinan nasional di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sistem tersebut bertujuan untuk mendaftar golongan miskin di Malaysia berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

FOTO IHSAN PENERANGAN

“Sistem ini menjadi rujukan kepada semua agensi pemberi bantuan yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan mengakses data/ maklumat kemiskinan yang sama di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Data terkini setakat 15 Mac 2023, sejumlah 123,243 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar telah berdaftar di eKasih. Data ini adalah melalui pendaftaran dan pengesahan di lapangan oleh ICU, JPM,” katanya.

GAMBAR HIASAN – CARIAN GOOGLE – BERITA HARIAN

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu) di Dewan Rakyat, pagi ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pemutihan dan pengemaskinian data eKasih sentiasa dilaksanakan berterusan bagi memastikan hanya yang benar layak dan tiada lagi yang tercicir daripada menerima bantuan.

Katanya, usaha Kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan adalah melalui beberapa program yang diselaraskan dan dilaksanakan.

“Program yang dilaksanakan ialah meningkatkan pendapatan rakyat yang miskin melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Dan meminimum beban kos sara hidup melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 400,000 golongan yang mudah terjejas.

“Dan subsidi, bantuan dan insentif sebanyak RM64 billion  serta pelaksanaan konsep Payung Rahmah,” jelas beliau.

Di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), RM750 juta telah diperuntukkan untuk tujuan IPR.

“Di bawah IPR, tiga inisiatif telah diperkenalkan iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN),” katanya.

Ujar Perdana Menteri lagi, inisiatif ini dilaksanakan melalui whole-of-nation approach melibatkan tiga peringkat iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan rakan-rakan strategik.

“Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) bertujuan untuk meningkatkan pendapatan miskin tegar dan B40 serta mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan bahan mentah.

“Di peringkat permulaan, tumpuan diberikan kepada tanaman strategik seperti cili dan jagung. Ini untuk membantu meningkatkan penawaran sumber bekalan makanan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Selain itu, 800 ekar tanah Kerajaan Persekutuan telah dikenal pasti untuk dimanfaatkan bagi tujuan inisiatif ini,” jelas beliau.

FOTO IHSAN PENERANGAN

Projek rintis INTAN ini telah dilancarkan di Rumah Pangsa Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023, katanya.

“Projek INTAN seterusnya dengan keluasan 30 ekar akan dilancarkan di Presint 9, Putrajaya bersama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan memberikan bantuan berbentuk penyediaan tapak, infrastruktur dan latihan pertanian bagi tempoh dua tahun.

Beliau berkata, unjuran pendapatan yang diperoleh daripada hasil jualan cili bagi setengah ekar tanah dianggarkan mencecah RM2,000 sebulan.

“Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) bertujuan untuk menyediakan bantuan berbentuk mesin layan diri (vending machine) untuk disewa dengan kadar bersubsidi oleh kumpulan B40 dan miskin tegar untuk kegunaan dalam menjalankan perniagaan makanan yang sedia untuk dimakan (ready to eat). Ini mengupaya pilihan penawaran makanan pada harga yang berpatutan.

“Kerajaan telah melaksanakan projek INSAN secara rintis di Stesen LRT Cempaka, Ampang Jaya, Selangor.

“Mesin layan diri IPR kedua telah beroperasi di Terminal 1, Seremban dan yang ketiga di UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor,” katanya sambil menambah, kadar unjuran pendapatan bagi pelaksanaan INSAN adalah sekitar RM2,000 sebulan bagi jualan produk makanan.

Seterusnya, Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), kata Anwar, bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kontraktor serta pekerja asing dalam sektor 3D (Dirty, Dangerous, Difficult).

Beliau berkata, melalui inisiatif ini, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri dan PBT bagi mewujudkan peluang kerja dengan gaji yang setimpal termasuk bagi kerja-kerja pembersihan tandas awam.

“Kerajaan akan menjadi pemudah cara dalam urusan pelantikan pekerja, menyediakan peralatan dan kelengkapan serta memberi bantuan elaun tambahan kepada peserta.

“Majlis Perbandaran Kuala Selangor telah mengemukakan senarai peserta pengusaha sampan di Santuari Kelip-Kelip Kg. Kuantan untuk menyertai program IKHSAN,” katanya.

Katanya lagi, di bawah insiatif ini, kerajaan menyasarkan setiap pekerja menerima gaji asas berjumlah RM2,000 sebulan.

“Dan pihak kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dipertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran seperti penggajian, pemantauan dan penyelenggaraan fasiliti yang berkaitan.

“Kerajaan juga akan memberi subsidi tambahan bagi menampung sela gaji yang kurang sehingga setiap peserta mencapai pendapatan RM2,000 sebulan,” ujar beliau.

Anwar berkata, program peningkatan pendapatan miskin tegar (BMT) berdasarkan mekanisme sedia ada juga diteruskan terutama bagi mengatasi masalah kemiskinan di lokaliti dan pekerjaan yang tidak terangkum di bawah tiga inisiatif di bawah IPR bagi memastikan inklusiviti.

Untuk meminimum beban kos sara hidup, Anwar berkata, kerajaan akan meneruskan bantuan berdasarkan keperluan kepada kumpulan sasar melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diberikan kepada hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

“Pembayaran Fasa 1 STR telah dilaksanakan pada 17 Januari lalu melibatkan 8.7 juta penerima dengan jumlah bantuan RM1.67 bilionFasa 2 STR akan dilaksanakan pada 5 April depan iaitu di pertengahan bulan Ramadhan ini,” katanya.

Setakat hari ini, hampir 574,886 permohonan baharu telah diterima. Kepada rakyat Malaysia yang layak, permohonan boleh dibuat sehingga  ini. – SM

Baca > Matlamat sifar miskin tegar tercapai menjelang penghujung 2025 menerusi BMTKM

 

(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button