Politik

Tugas pertama Muhyiddin selepas dikuarantin ialah panggil sidang khas Parlimen

PERKARA pertama yang perlu dilakukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin apabila kembali bertugas selepas menjalani kuarantin adalah untuk memanggil satu persidangan khas Parlimen untuk membahaskan isu-isu berkaitan Covid-19.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Malaysia tidak boleh dicatatkan dalam sejarah sebagai satu-satunya negara yang gagal menyatu-padukan tenaga dan suara rakyat dalam menghadapi wabak Covid-19 kerana kegagalan kerajaan untuk mencari legitimasi sehinggakan Parlimen terpaksa disekat.

“Mengapakah Malaysia perlu dicatatkan dalam sejarah sebagai negara yang menyekat fungsi Parlimen di bawah pentadbiran Muhyiddin?

“Hakikat bahawa terdapat sifar kematian dalam 13 hari yang lepas dalam negara kita adalah satu perkara yang harus dipuji dan menjadi bukti professionalisme dan dedikasi perjuangan para petugas barisan hadapan dalam negara kita serta kerjasama yang ditunjukkan oleh rakyat dalam melawan wabak ini,” kata Kit Siang menerusi blognya.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu adalah penting untuk demokrasi berparlimen dikembalikan supaya strategi dan rancangan keluar oleh kerajaan dapat dibentangkan, dibahaskan, dan diluluskan di Parlimen sebagai sebuah Rancangan Pemulihan Wabak Covid-19 Kebangsaan.

Muhyiddin dilaporkan kembali bertugas semalam selepas menjalani perintah kuarantin bermula 22 Mei apabila seorang daripada pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di pejabat Perdana Menteri disahkan positif COVID-19.

Sepanjang tempoh tersebut, Perdana Menteri telah menjalankan tugas rasmi dengan cara bekerja dari rumah. Pada Selasa lalu Muhyiddin sekali lagi telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif.

Muhyiddin memulakan tugasannya semalam dengan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi sesi pra-Kabinet menerusi persidangan video.

Muhyiddin dijadual membuat perutusan khas berkaitan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang akan disiarkan secara langsung di stesyen televisyen tempatan dan media sosial pada pukul 3 petang ini.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button