Semangat juang, enggan menyerah kalah, faktor jinakkan Thailand – Cheng Hoe
SEMANGAT juang sebenar dan enggan menyerah kalah menjadi faktor utama kemenangan 2-1 Harimau Malaya ke atas jirannya, Thailand, dalam perlawanan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 , kata ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Cheng Hoe memuji anak didiknya kerana mempamerkan satu daripada persembahan memberangsangkan bagi tahun ini menentang skuad Gajah Perang, yang berkedudukan ke-109 dalam ranking dunia, di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.
Skuad Harimau Malaya, yang mengekori jaringan Chanathip Songkrasin pada minit ketujuh, bangkit semula menerusi gol sumbangan Brendan Gan pada minit ke-26 dan Mohamadou Sumareh pada minit ke-56.
Ini merupakan kemenangan kedua pasukan bimbingan Cheng Hoe dalam kempen Kumpulan G, selepas mengetepikan Indonesia 3-2 dalam perlawanan pembukaan, sebelum kalah berturut-turut kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) (1-2) dan Vietnam (0-1).
“Kesemua pemain sangat fantastik. Ia bukan mudah kerana kita tahu Thailand menghantar pasukan yang kuat. Bagaimanapun, pemain kita menunjukkan semangat juang dan enggan menyerah kalah, itu perkara paling penting untuk kita meraih tiga mata yang sangat berharga.
“Walaupun kita ketinggalan gol awal, yang menjadi satu masalah yang perlu diatasi, tetapi disebabkan pemain bersatu hati dan percaya kita boleh melakukan sesuatu, sebelum kita dapat ‘turning point’ menerusi jaringan Brendan. Selepas itu kita dah nampak peluang terbaik untuk jaringkan gol.
“Perjalanan kita dalam kempen kelayakan ini separuh sahaja, kita ada empat perlawanan lagi, jadi kemenangan ini beri kita motivasi untuk mencari keputusan positif pada perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan malam tadi.
Selain Brenda, Cheng Hoe turut memuji pemain tengah, Mohamed Syamer Kutty Abba, 22, yang mempamerkan aksi mengagumkan dalam perlawanan itu selepas diberi peluang untuk turun padang.
Pakar taktik itu turut meminta anak didiknya supaya tetap konsisten, dalam pertembungan dengan musuh tradisi, Indonesia, di venue sama pada Selasa malam.
“Saya bersimpati dengan Muhammad Syafiq Ahmad dan Matthew Davies kerana tidak dapat bermain dalam perlawanan seterusnya selepas dilayangkan kad kuning kedua. Sebagai jurulatih, kami perlu mencari pilihan terbaik untuk berdepan Indonesia. Seperti yang kita sedia maklum, mereka datang awal sebagai persiapan. Mereka kelihatan serius, jadi kami perlu lebih fokus menentang mereka,” kata Cheng Hoe.
Sementara itu, jurulatih Thailand Akira Nishino menyalahkan anak didiknya kerana kurang keazaman untuk menjaringkan gol kedua sebagai alasan bagi kekalahan menentang Malaysia yang berada pada ranking ke-158 dunia.
“Bukan setakat pemain tengah, pemain di posisi lain juga tidak bermain seperti yang kami harapkan dan kurang tenteram.
“Daripada undian itu sendiri, kami tahu yang kumpulan ini sukar, peluang terbuka bagi semua. Jadi kami akan beri tumpuan untuk bangkit semula dan berazam untuk melakukan yang lebih baik dalam perlawanan akan datang,” kata jurulatih dari Jepun itu.
Thailand dijadual berdepan Vietnam, yang mengejutkan UAE 1-0 di Hanoi, pada Selasa.
Vietnam kini merupakan pendahulu kumpulan setelah mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan, diikuti Thailand (7), UAE (6), Malaysia (6) dan Indonesia, yang belum mengumpul sebarang mata.– BERNAMA