Politik

FMT minta maaf lapor ‘Guan Eng dakwa Malaysia binasa diperintah parti Melayu Islam’

KUALA LUMPUR – Portal berita FMT yang menyiarkan laporan berita bertajuk ‘Guan Eng dakwa Malaysia binasa jika diperintah parti Melayu Islam’ meminta maaf kepada Menteri Kewangan.

Dalam satu permohonan maaf, FMT mengakui berita tersebut tersalah melaporkan ucapan Lim Guan Eng dan tajuk laporan itu tidak mencerminkan ucapan beliau.

“Permohonan maaf dan pembetulan laporan bertarikh 10 Nov 2019, bertajuk “Guan Eng dakwa Malaysia binasa jika diperintah ‘parti Melayu Islam’”, kami memohon maaf sepenuhnya kepada Lim Guan Eng, setiausaha agung DAP, atas sebarang kesulitan dan kesedihan yang dialaminya.

“Kami akui laporan tersebut tersalah melaporkan ucapannya, dan tajuk laporan itu tidak mencerminkan ucapan tersebut.

“Berita asal FMT melaporkan “Malaysia akan punah dan binasa sekiranya sebuah ‘parti politik Melayu Islam’ memimpin negara ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini,” menurut FMT.

Dalam permohonan maaf itu, FMT berkata, ucapan Guan Eng tidak sebut “punah dan binasa” dan “parti politik Melayu Islam”.

“Kami telah membetulkan perenggan itu kepada “Malaysia akan ‘habislah’ sekiranya sebuah ‘parti pembangkang’ memimpin negara ini, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini”.

“Laporan itu juga membawa tajuk “Guan Eng dakwa Malaysia binasa jika diperintah ‘parti Melayu Islam’”.

“Kami telah membetulkan tajuk itu kepada ‘Guan Eng dakwa ‘habislah’ Malaysia jika diperintah sebuah ‘parti pembangkang’,” kata FMT.

Menurut portal berita itu, mereka sedar laporan itu harus ditulis dengan tepat dan betul seperti ucapan Lim Guan Eng.

“Dengan ini, kami sekali lagi memohon maaf dan menaikkan laporan yang sudah dibetulkan.”-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button