Politik

Pukul berapa Anwar mengadap Agong esok?

BUKAN menjadi rahsia Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara esok.

Ini diberitahu sendiri oleh Anwar dalam satu kenyataan pada 8 Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan.

Anwar bagaimanapun tidak menyebut waktu beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Sehingga kini pihak media masih tertanya-tanya bilakan masa majlis mengadap akan berlangsung di Istana Negara itu.

Pertanyaan media mengenai masa pertemuan itu dalam kumpulan WhatsApp rasmi kumpulan media PKR juga tidak dijawab.

Turut menimbulkan persoalan apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenaya Polis Diraja Malaysia, Datuk Huzair Mohamad dalam satu kenyataan memberitahu, Anwar berkelapangan untuk hadir ke Bukit Aman bagi satu siasatan pada pagi esok.

Anwar dipanggil berikutan enam laporan polis dibuat terhadap beliau berkaitan penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

“Sehubungan itu YB Dato Seri Anwar Bin Ibrahim telah diminta untuk hadir memberi keterangan pada 12 Oktober 2020 jam 11 pagi.

“Namun begitu Setiausaha Sulit belai memaklumkan bahawa YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim hanya dapat hadir pada 13 Oktober 2020 jam 9.00 pagi,” kata Huzir.

Polis Diraja Malaysia telah menangguhkan janji temu bersama Anwar pada tarikh yang lain.

Setiausaha Agung PKR Datuk S Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan media hari ini turut tidak menyebut waktu majlis mengadap berkenaan.

Beliau hanya meminta agar anggota PKR tidak berhimpun di perkarangan Istana Negara mahupun di sekitar kawasan istana termasuk di jalan-jalan menuju ke Istana Negara.

Sehingga berita ini ditulis (3:27 petang, 12 Oktober 2020) masih belum ada kepastian waktu Anwar mengadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, esok.-SM

(Visited 433 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button