LIMA 2023: KDN titik berat aspek keselamatan
DALAM keadaan cuaca panas kering dan menghampiri bulan Jun yang mana El Nino diramalkan bakal melanda negara, penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 nampak gayanya tetap dijalankan.
Aspek keselamatan semasa penganjuran LIMA 2023 yang akan berlangsung pada 23 Mei sehingga 27 Mei ini menjadi keutamaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan program berprestij ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan terbaik.
Sebagai peneraju bagi Sekretariat Keselamatan dan Trafik, KDN telah mengadakan mesyuarat persiapan akhir menjelang LIMA 2023 yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, di Kompleks KDN, Langkawi, semalam.
Mesyuarat turut dihadiri Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari .
Hadir sama para pegawai dari Bahagian Keselamatan dan Bahagian Antarabangsa KDN, PDRM Bukit Aman, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).
Taklimat persiapan keselamatan telah disampaikan oleh SAC Alzafny Ahmad dari PDRM Kontijen Kedah selaku Pegawai Medan LIMA 2023.
Selain itu, lawatan ke lokasi utama bagi segmen pameran aeroangkasa dan maritim juga turut diadakan selepas mesyuarat di Resort World Langkawi dan Mahsuri International Exhibition Centre bagi meninjau persediaan khususnya aspek keselamatan LIMA 2023.
KDN dan seluruh agensi di bawah Kementerian ini komited menggalas amanah dan tanggungjawab dengan melibatkan penugasan pegawai dan anggota keselamatan serta aset strategik bagi menjayakan LIMA 2023. – SM
BACA LIMA’23: Amaran kepada pemain industri tidak naikkan harga