Calon mengeluh Ujian Pendengaran BI terlalu laju, slang pelik
Majoriti calon peperiksaan Ujian Pendengaran Bahasa Inggeris mengeluh penuturnya bukan sahaja bercakap laju malah slang yang dilantunkan turut kedengaran pelik.
Seorang ibu, Siti Kamsiah Adnan berkata, perkara ini adalah sesuatu yang sangat serius kerana ia melibatkan markah pelajar dan masalah ini dialami banyak pelajar.
“Bayangkanlah, anak-anak yang lancar cakap Bahasa Inggeris pun boleh tak dapat tangkap apa yang diucapkan, apa lagi anak-anak biasa yang lain?
“Negara kita hari-hari dihidangkan dengan cerita yang menggunakan slang Amerika, sekali gus mempengaruhi gaya percakapan kita, kenapa tidak dikaji perkara ini?” keluhnya.
Sehubungan itu, unit Lembaga Peperiksaan (LP) menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil menjelaskan beberapa fakta yang penting kepada ibu bapa.
Format soalan UMBI SPM adalah dalam pelbagai bentuk, iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respon terhad.
UMBI SPM memerlukan calon mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan.
“LP juga memastikan item atau instrumen yang dibina mencapai tahap kebolehtadbiran, keesahan, kebolehpercayaan dan kewibawaan.
“Tahap ini diberikan perhatian agar item atau instrumen tersebut adalah adil dan saksama kepada calon,” kata LP dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, LP menjelaskan kadar kelajuan pertuturan pelontar suara bagi item atau instrumen adalah berdasarkan aras kompetensi Common European Framework of References for Languages (CEFR).
“Pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022 ini berdasarkan kadar kelajuan pertuturan yang tipikal dan standard pertuturan dan perbualan.
“Di samping itu, aspek autentik pada penutur juga dititikberatkan dalam pembinaan item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022 bagi mewujudkan konteks sebenar komunikasi,” kata LP.
Tambah LP, praujian juga telah diadakan dan melibatkan murid sekolah di pelbagai lokasi sama ada bandar dan luar bandar bagi menentusahkan item atau instrumen adalah sesuai dan mencapai tahap kualiti yang ditetapkan.
Manakala LP juga menafikan penggunaan tik tokers sebagai pelontar suara audio dalam ujian tersebut seperti dakwaan yang tular dalam media sosial.
“LP memaklumkan bahawa pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM
Tahun 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.
“Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022,” kata LP.
Sehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan kekal utuh serta memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah terjamin.