BeritaPendidikan

UniMAP rancang agenda pengantarabangsa

Beberapa inisiatif dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan sedang dirancang oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk dilaksanakan sepenuhnya pada Sidang Akademik 2021/2022 yang akan datang ini.

Antaranya melibatkan mobiliti pelajar dan staf dengan rakan institusi sedia ada dan juga rakan kerjasama baharu.

UniMAP juga pada masa yang sama akan terus meningkatkan pengalaman pembelajaran antarabangsa atau ‘international experience’ baik melalui kaedah maya mahupun kaedah bersemuka. Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui siri-siri pensyarah kunjungan dan sebagainya.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menzahirkan ucapan tahniah melalui sesi rakaman digital kepada Universitas Andalas (UNAND), Padang, Indonesia atas Sambutan Hari Ulang Tahunnya yang ke-65 baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Canselor UniMAP, turut melahirkan penghargaan di atas hubungan baik yang berterusan antara pihak UNAND dengan UniMAP dan berharap agar lebih banyak kerjasama antara kedua pihak akan berupaya terjalin pada masa yang akan datang.

Ketika ini, UNAND dan UniMAP bekerjasama di bawah payung jaringan universiti Kawasan Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT UNINET) yang turut melibatkan 27 buah universiti lain daripada 3 buah negara terbabit. Ianya turut disertai oleh 12 buah universiti dari Indonesia dan 5 buah universiti lagi dari Thailand.

Mengakhiri titah DiRaja tersebut, Tuanku Raja Muda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Universitas Andalas serta pada masa yang sama mendoakan agar pandemik Covid-19 ini akan segera berakhir agar lebih banyak agenda pembangunan dan pengantarabangsaan di kedua-dua buah universiti berkenaan akan dapat diteruskan dan diperhebatkan lagi di masa hadapan.

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button