fbpx
Politik

Najib minta Mukhriz buktikan dia jadi dalang menjatuhkannya

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir membuktikan dia menjadi dalang dalam menjatuhkan beliau sebagai menteri besar Kedah untuk kali kedua.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, Mukhriz perlu mengeluarkan semua bukti yang beliau ada untuk menunjukan dia terlibat untuk menyingkirkan Mukhriz daripada jawatan tersebut.

Najib berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan beliau hanya duduk di rumah bermain Facebook, kucing dan makan super ring.

“Sebab apa saya disalahkan apabila pemuda ini hilang kerja? Sejak PKP bermula, saya cuma #stayathome main FB, main kucing dan makan super ring.

“Pemuda ini ada bukti tak bahawa saya terlibat? Sila keluarkan. Dalam bulan Ramadan ni pun dia sanggup berbohong macam ni,” kata Najib.

Mukhriz dalam sidang akhbar hari ini menuduh Najib sebagai watak utama menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan di Kedah.

Menurut anak bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir itu, walaupun arahan untuk menjatuhkannya sebagai menteri besar datang daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, namun Najib merupakan orang di belakang Presiden Bersatu itu.

Mukhriz mendakwa, Najib menyinkirkannya bagi membebaskan diri daripada pertuduhan pecah amanah.

“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datang daripada presiden Bersatu melalui Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu iaitu Najib Razak.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata membebaskan dirinya daripada pertuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia.

“Lihat saja apa sudah jadi pada kes pengubahan haram pada anak Rosmah Mansor iaitu Riza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu,” kata Mukhriz dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah, hari ini.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada Bersatu.

Ketua Pembangkang yang juga ADUN Jeneri dari Pas, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU (Tun Dr Mahathir Mohamad – dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Perubahan komposisi itu berikutan tindakan ADUN Lunas dan Sidam iaitu  Azman Nasrudin dan Dr. Robert Ling Kui Ee bertindak meninggalkan PKR kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional. – SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button