Cik Potek kucing “mat rempit” yang setia
CIK Potek bukan kucing biasa, mana tidaknya sudah rutin seharian tidak kira pagi, petang atau malam akan setia menemani tuannya yang menunggang motosikal untuk bersama-sama “merempit”.
Cik Potek akan berdiri dengan gagah melawan angin di atas “handle” motosikal tuannya.
Bila penat Cik Potek akan duduk dengan meletakkan kedua tangannya di atas “handle” motosikal.
Yang peliknya, Cik Potek tidak pernah sesekalipun untuk terjun dari motosikal tuannya sama ada ketika bergerak atau berhenti.
Kucing jantan campuran baka Parsi dan Siam ini memang bersahabat dengan tuannya, Azizan Musa, 60 yang tinggal di Sungai Repoh, Kangar.
“Biasa kalau saya ke pasar waktu pagi, Cik Potet akan tunggu di atas motosikal tanpa bergerak ke mana-mana,” katanya ketika ditemui Suara Merdeka semasa mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Jalan Kaki Bukit, semalam.
Seperti biasa di mana sahaja Cik Potek singgah atau masa menaiki motosikal pastinya akan menarik perhatian peminat kucing sama ada ingin mengusap, memegang dan merakam gambar.
Cik Potek pula jenis baik dan tidak takut untuk bermesra dengan sesiapa sahaja sekalipun baharu dikenali.
Penulis juga mengambil peluang mengangkat dia dari motosikal untuk didukung, memang Cik Potek tak mengelupur sebaliknya berdiam diri sambil mengiau manja.
Azizan berkata, beliau membeli Cik Potek dengan harga RM500 semasa berusia dua bulan.
“Saya melatih Cik Potek sejak berusia dua tahun lagi dalam tempoh enam bulan untuk dia cekap bila berada atas “handle” motosikal,” katanya.
Katanya, peringkat awal memang susah untuk meletakkan Cik Potek duduk di “handle” motosikal kerana asyik terjun.
Azizan berkata, beliau akan memberi Cik Potek makan daging tempatan selang sehari, selain setiap hari makan ayam goreng, ayam rebus dan makanan kucing.
“Saya akan mandikan Cik Potek seminggu sekali menggunakan besen besar,” katanya yang mengaku Cik Potek memang tidak berpisah dengannya termasuk berkongsi bantal tidur. – SM