MahkamahNasional

Rasuah polis RM200: Buruh dipenjara 14 hari, denda RM10,000

TIDAK berbaloi suapan RM200 ke atas anggota polis kerana pesalah dipenjara 14 hari, denda RM10,000. Itulah padah yang diterima oleh seorang buruh ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000.

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, selepas dia mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM200 kepada seorang anggota polis di Kemaman, bulan lepas.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Radzali Bahari, 41, selain turut menetapkan tertuduh boleh dipenjara selama 10 bulan jika gagal membayar denda.

Radzali dituduh memberi suapan wang tunai RM200 kepada seorang polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Ayer Puteh.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak ditangkap dan mengelak daripada menjalani saringan air kencing pada 4 petang, 12 Julai lepas di dalam daerah Kemaman.

Sehubungan itu, dia didakwa bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala Radzali tidak diwakili peguam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button