Ekonomi

4,000 rakyat Sarawak hilang kerja akibat Covid-19

KUCHING: Seramai 4,037 rakyat Sarawak kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2021, Dewan Undangan Negeri Sarawak diberitahu hari ini.

Timbalan menteri di jabatan perdana menteri (buruh, imigresen dan pemantauan projek) Gerawat Gala berkata 3,002 rakyat Sarawak kehilangan pekerjaan pada 2020, manakala 1,035 menghadapi nasib yang sama pada tahun berikutnya.

“Bagi mengurangkan beban mereka yang terjejas termasuk kehilangan pekerjaan, kerajaan Sarawak telah memperkenalkan lapan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) berjumlah RM5.7 bilion.

“Pakej BKSS termasuk penyaluran bantuan tunai kepada kumpulan B40 serta peniaga kecil, serta penangguhan sewa,” katanya menjawab soalan Safiee Ahmad (GPS-Daro).

Safiee bertanyakan berapa ramai rakyat Sarawak kehilangan pekerjaan semasa wabak itu dan apakah langkah kerajaan negeri untuk menangani perkara itu semasa sesi soal jawab DUN hari ini.

Gerawat berkata kerajaan Sarawak menjalankan beberapa usaha termasuk pelaksanaan Latihan Pemantapan Siswazah Sarawak (GETS) untuk graduan di negeri ini bagi menangani isu itu.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan melaksanakan program pembangunan tenaga kerja industri dengan kerjasama industri untuk memberi latihan,” katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah mengadakan Program Go Rural Area (GRAP) dan Karnival Kerjaya bagi memberi penerangan mengenai peluang pekerjaan.

“Untuk jangka masa panjang, kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan lebih banyak inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi produktiviti tinggi dan peluang pekerjaan.

“Dijangka 200,000 pekerjaan dengan gaji tinggi akan diwujudkan menjelang 2030,” katanya.

Mengenai soal gaji pekerja dikurangkan, beliau berkata sebanyak 5,932 pekerja mengalami pemotongan gaji antara 2020 hingga 2021.

“Angka ini lebih tinggi berbanding mereka yang diberhentikan,” katanya.

Beliau menambah bahawa dari 2020 hingga 2021, majoriti pekerja yang telah diberhentikan adalah daripada industri perhotelan dan perkhidmatan makanan, dengan 2,772 pekerja daripada sektor ini terjejas.

“Manakala pemberhentian dalam sektor runcit dan jualan melibatkan 1,328 pekerja dan sektor pembinaan melibatkan 1,030 sektor,” katanya.

(Visited 373 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button