EkonomiNasionalNegeri

Syarikat di Amerika Syarikat dipelawa teroka pelaburan baharu di Perlis

Syarikat-syarikat di Amerika Syarikat khususnya yang sudah memiliki industri atau kilang di Malaysia serta berhasrat mengembangkan lagi perusahaan masing-masing dipelawa meneroka peluang-peluang pelaburan baharu yang disediakan di Perlis.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian dalam siaran media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Sebelum itu Baginda berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan Ibnu Sabil MAIPs’ kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, California, Amerika Syarikat semalam.

Baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs menyerahkan sumbangan zakat bernilai RM5,000 tersebut kepada Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.

Tabung Ibnu Sabil disumbangkan oleh pihak MAIPs kepada beberapa buah Pejabat Perwakilan negara di luar negara yang terpilih bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan saradiri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen bergambar bersama pengurusan Pendidikan Malaysia di Los Angeles.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Naib Presiden Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Los Angeles, Akbal Setia; dan Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Los Angeles, Irvin Francis.

Anil Fahriza dalam sesi ucapan beliau mempersembah maklumkan kepada Pemangku Raja dan Raja Puan Muda bahawa Perlis merupakan salah satu negeri yang mendapat manfaat pelaburan berdasarkan kedudukan strategik berhampiran sempadan Thailand, kekuatan sektor agrikultur dan pembangunan lojistik yang menyeluruh.

Menurut beliau, Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang sedang dibangunkan akan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di negeri Perlis dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan berteknologi tinggi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan berbual dengan kakitangan Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

“Antara syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat yang melabur di Perlis adalah Jabil (elektrikal & elektronik), Mediquip – dimiliki oleh Cardinal Health (sarung tangan getah serta peralatan kesihatan) dan Iriichi – syarikat usahasama (joint venture) di antara Iriichi Technology dan Sojitz America (elektrikal & elektronik),” jelas Anil Fahriza.

Tambahnya, sektor-sektor yang disasar seperti ‘green manufacturing’, ‘renewable energy’ serta industri halal adalah selari dengan pendekatan yang dibawa oleh pentadbiran Amerika Syarikat yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi bersih dan hijau.

Terang beliau lagi, Amerika Syarikat merupakan salah satu rakan dagang utama Malaysia.

Katanya, pada tahun 2022, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang ke-3 terbesar Malaysia dengan jumlah US$60.71 (RM267.59 billion), peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun 2021.

“Eksport ke Amerika Syarikat mencatatkan rekod tertinggi dengan perkembangan 10.6 peratus kepada US$37.96 billion (RM167.16 billion) manakala import daripada Amerika Syarikat mencatatkan perkembangan 26.6 peratus kepada US$22.75 billion (RM100.42 billion),” katanya.

Sempena keberangkatan ke Konsulat Jeneral tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen turut berkenan beramah mesra dan juga berfoto kenangan bersama-bersama para warga kerja Konsulat Jeneral berkenaan yang bernaung di bawah beberapa buah agensi termasuklah Wisma Putra, Pejabat MATRADE dan juga Education Malaysia.

Baginda berdua juga turut berkenan meluangkan masa melawat pejabat Tourism Malaysia Los Angeles yang beroperasi di bangunan lain yang berdekatan. – SM

BACA Thailand Franchise and Business Opportunity 2023 sasar RM30 juta pelaburan

BACA NTER sasar pelaburan RM25 bilion, jana 23,000 peluang kerja bernilai tinggi

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button