Ekonomi

Moratorium bayaran balik pinjaman dianggarkan RM66.6 bln

Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuatkuasa sejak 1 April, 2020 lalu, dianggarkan berjumlah RM66.6 bilion setakat 31 Julai, 2020, demikian menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata daripada jumlah ini, RM23.3 bilion telah dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM43.3 bilion.

“Menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September ini, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang terjejas akibat COVID-19 melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam Laporan LAKSANA ke-16 mengenai Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menteri Kewangan itu menambah untuk individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan.

“Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing,” jelas beliau.

Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman, katanya.

Pihak terkesan boleh menghubungi institusi perbankan mulai 7 Ogos, 2020 untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik, kata Tengku Zafrul.

Maklumat lanjut boleh didapati di  https://www.facebook.com/bnm.official/posts/10158571163499872. – BERNAMA

(Visited 63 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button