Nasional

4 dewan jadi pusat kuarantin PATI, Hospital Medan ATM diaktifkan di Sabah

SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan COVID-19 hari ini meluluskan permohonan MKN Sabah untuk mewujudkan Pusat Kuarantin Transit Pendatang Asing Tanpa Izin.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon, sidang khas itu hari ini mendengar pembentangan daripada MKN Sabah mengenai keperluan mewujudkan Pusat Kuarantin Transit PATI di Sabah bagi tujuan menempatkan PATI sebelum dimasukkan ke depot-depot tahanan.

Pusat transit itu bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan PATI di depot tahanan.

Dewan Masyarakat Manggatal dan Dewan Masyarakat Pekan Kinarut di Kota Kinabalu serta Dewan Sibuga, Batu 5 dan Dewan Sri Gum-Gum, Batu 16 di Sandakan telah dipilih sebagai pusat kuarantin transit tersebut.

“Kesemua tahanan PATI baru ini akan menjalani saringan swab test di Pusat Kuarantin Transit PATI yang ditetapkan ini.


“Jika didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan bagi yang negatif mereka akan dikuarantin wajib 14 hari di pusat tahanan ini,” kata Ismail Sabri dalam sidang akhbar hari ini.

Selepas tamat tempoh kuarantin 14 hari dan jika negatif pada swab test kedua mereka akan dihantar ke depot-depot tahanan.

Sementara itu Angkatan Tentera Malaysia juga bersetuju untuk mengaktifkan Hospital Medan ATM di Tawau.

Ia sebagai langkah bagi melaksanakan bantuan sokongan untuk merawat kes-kes selain Covid-19, pembedahan trauma dan kecemasan, wad Bersalin dan lain-lain.

Pelaksanaan itu diambil selepas Sidang Khas MKN hari ini mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai keperluan untuk menambah fasiliti perubatan bagi menangani situasi di Sabah.

Ini berikutan jangkaan akan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu.

“Hospital ini mempunyai 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan seramai 8 Pegawai perubatan dan 54 lain-lain pangkat terdiri daripada 1 Komander, 5 Doktor Pakar, 3 Pegawai Perubatan dan lain-lain kakitangan.

“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan melaksanakan penerbangan secara harian ke Sabah bagi membantu KKM dalam urusan logistik termasuk membawa kakitangan perubatan serta membawa sampel saringan swab test ke makmal di Semenanjung,” kata Ismail Sabri.-SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button