Nasional

Lebih banyak kategori pelajar untuk dapatkan tablet Peranti Siswa – Annuar

PENGAGIHAN tablet Peranti Siswa untuk pelajar B40 yang dijadualkan bermula September tahun ini akan diperluaskan kepada empat kategori, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa di Dewan Rakyat.

Beliau berkata empat kategori itu ialah dalam program matrikulasi Kementerian Pendidikan, kursus asasi di IPTA, pelajar Tingkatan Enam pada semester pertama dan kedua, dan pelajar diploma Kolej Vokasional.

Annuar berkata pelajar yang berminat dengan tablet itu boleh mula memohon hari ini.

“Sebanyak 350,000 tablet dijangka diedarkan kepada pelajar sepenuh masa daripada keluarga B40.

“Jawatankuasa perolehan telah memilih jenama Samsung sebagai pemenang tender terbuka membabitkan lima pembekal dan lima zon berbeza iaitu Sabah dan Sarawak di zon pertama serta zon utara, tengah, timur dan selatan,” katanya.


Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang bertanyakan mengenai tablet Peranti Siswa dan jumlah peranti yang akan diedarkan kepada pelajar B40.

Annuar berkata pengedaran tablet Peranti Siswa yang pada awalnya dijadualkan pada Jun 2022 terpaksa ditangguhkan atas faktor teknikal dalam perolehan.

“Tender semula telah selesai pada penghujung Julai 2022 berdasarkan kajian dan hasil perolehan tender semula oleh Kementerian Kewangan.

“Oleh itu, pengedaran peranti Peranti Siswa dijangka pada Ogos atau September 2022.”

Menerusi fasa pertama permohonan itu, Annuar berkata kira-kira 40 peratus daripada pemohon tidak layak menerima tablet itu, tetapi memberi jaminan bahawa rayuan akan dibuka tidak lama lagi.

“Bagi membolehkan rayuan berjalan dengan teratur, kementerian telah memutuskan untuk membenarkan persatuan pelajar di universiti menjadi sebahagian daripada proses pengesahan.

“Rayuan untuk pelajar sekolah pula akan melibatkan pemimpin tempatan termasuk ahli parlimen,” katanya sambil menambah jadual pengedaran tablet itu sedang disediakan menjelang akhir bulan ini. -SM

 

 

(Visited 16 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button