Rencah Hidup

PKP: Ikan masin, ikan kering kurang dapat sambutan Ramadan ini

KETIADAAN pelanggan termasuk pemborong datang ke rumah selain kekangan untuk keluar membuat pengedaran sendiri menyebabkan produk ikan kering dan ikan masin pengusaha di Kuala Sungai, Kuala Kedah, Kedah merudum menjelang Ramadan tahun ini.

ASTRO Awani melaporkan, keadaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini jelas berbeza bagi pengusaha di kawasan itu termasuk pasanganZainol Abidin Shuib, 63, dan Salasiah Bakar, 61, yang sudah 15 tahun mengusahakan perniagaan berkenaan.

Mereka berkata, setiap kali menjelang Ramadan, ikan kering dan ikan masin keluaran pengusaha kawasan itu menjadi buruan orang ramai sebagai juadah pembuka selera ketika bersahur namun kini kurang mendapat sambutan

Zainol berkata, biasanya seminggu sebelum Ramadan ikan kering dan ikan masinnya telah habis dijual.

“Tetapi tahun ini, saya tak boleh buat apa. Tahun lepas jualan bagus, tahun ini susah sikit. Orang Kuala Lumpur (peniaga dan pemborong) pun tak boleh datang ambil bekalan disebabkan COVID-19 (PKP).

“Dulu, saya pergi hantar ikan masin dan ikan kering ini ke kedai-kedai di luar kawasan termasuk di Jitra, Kepala Batas dan Pendang tetapi tahun ini tak boleh bergerak bebas seperti dulu.

“Sekarang kami mengharapkan pelanggan yang datang beli di rumah selain jualan di pasar di kampung berhampiran saja. Memang jualan kurang baik seperti sebelum ini,” katanya.

Salasiah pula berkata, bekalan ikan mentah dari nelayan tempatan juga kurang beberapa minggu ini menyebabkan dia terpaksa mendapatkan ikan gelama daripada nelayan di Kuala Sanglang untuk dijadikan ikan kering dan masin.

“Ikan pun susah nak dapat, kadang-kadang empat hingga lima hari baru ada…  baru-baru ini tiada bekalan (di pangkalan nelayan) selama berapa hari… sekarang baru ada,” katanya.

Setiap hari Zainol dan Salasiah menghasilkan lebih 50 kilogram ikan kering dan ikan masin dan dijual dengan harga RM25 sekilogram bagi gred A,gred B (RM20) dan gred C (RM15). – SM

(Visited 782 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button