Merrepak

10 hal Sabah & Sarawak anda kena tahu

MERREPAK

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara turut membawa satu kesulitan luar biasa kepada penduduk Sabah dan Sarawak. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dengan kebebasan merentas sempadan, ramai mahu pulang.

Tetapi mereka dikejutkan dengan harga tiket penerbangan yang melambung-lambung. Sebelum PKP, secara puratanya tiket yang diklafisikasikan `murah’ dan `mampu dibeli’ ialah di bawah RM500 pergi dan balik. Sekarang terbalik. Tiket meletup menjadi RM500 sehala.

Mujurlah kerajaan negeri bersedia menanggung kos ujian Covid-19 di lapangan terbang antarabangsa Kuching dan Kota Kinabalu. Kalau tidak, bertambah-tambahlah kesulitan untuk pulang kerana kos ujian Covid-19 di hospital swasta berlegar dari RM350 hingga RM900 seorang.

Bab tiket penerbangan itu, sejak seminggu ini didapati syarikat penerbangan mula menyelaras dan menstabilkan harga tiket. Difahami kerana sebelum ini AirAsia mempunyai penerbangan selang sejam ke Kuching tetapi akibat PKP, ia terus tiada kerana larangan merentas negeri.

Jadi jangan bimbang, bila keadaan sudah kembali tenang dan stabil, Merrepak yakin baik AirAsia, Malindo Air mahupun Malaysia Airlines akan menawarkan tiket penerbangan ke paras seperti sebelum PKP, tidak lama lagi. Ya ramai mahu pulang beraya Aidiladha 31 Julai ini tetapi ingat, tanpa PKP pun, musim perayaan memang tiket melambung!

Alang-alang sudah Merrepak hal Sabah dan Sarawak ini, bagaimana kalau kita ulang kaji pengetahuan am mengenai kedua-dua negeri ini. Bukan apa, semua kita digalak bercuti di dalam negeri. Semoga dengan cerita lanjut di bawah, anda tahu bahawa anda semua sekeluarga, amat dialu-alukan datang bercuti di Sabah dan Sarawak.


1 Mengapa ada Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia?

Berbezakah kedua-duanya? Secara teknikal, ya. Hari Kebangsaaan 31 Ogos disambut sempena perisytiharan Tanah Melayu bebas daripada British. Masalahnya, Sabah dan Sarawak hanya bebas daripada British pada 1963. Jadi atas faktor ini, Malaysia ada dua sambutan hari bebas dari penjajah.

 

Ada orang bertanya, bagaimana hendak ada integrasi nasional bila Hari Kebangsaan pun tidak diraikan bersama di seluruh negara? Inilah keunikan Malaysia. Fakta sejarah Tanah Melayu merdeka 1957. Sabah dan Sarawak 1963. Takkan mahu dipinggirkan 1963? Apa pun, 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan tetap disambut di kedua-dua negeri Borneo itu.

2 Mengapa masih kena pakai pasport ke Sabah, Sarawak?

Orang yang baru sampai, memang merungut besar. Bagaimana mereka yang isteri/suami orang Semenanjung? Lagi kuat merungut. Tak sangka rupa-rupanya bernikah dengan ekspatriat.

Ada juga pertikai kenapa orang Sabah dan Sarawak bebas ke mana-mana di Semenanjung tetapi sebaliknya orang Semenanjung tidak.

Ini adalah sebahagian daripada perjanjian 20 Perkara pembentukan Malaysia pada 1963 iaitu hak kedua-dua negeri untuk mengadakan kuasa imigresen sendiri. Namun, tidak ketat mana pun macam anda hendak memasuki Australia. Cukup sekadar kad pengenalan dan isi borang IMM yang ada mudah di isi.

3 Apakah penggunaan pasport akan dimansuhkan?

Ada yang berkata sudah tiba masanya agar aspek ini dikaji semula, seiring dengan era abad ke-21. Namun, pemansuhannya memerlukan kesungguhan politik daripada para penggubal undang-undang di Sabah dan Sarawak. Ramai tidak tahu Sabah dan Sarawak berstatus negeri autonomi sejak pembentukan Malaysia. Jadi setakat desakan Semenanjung, ia tidak mengubah apa-apa. Lainlah bila rakyat kedua-dua negeri itu sendiri bersuara, maka sesuatu akan dilakukan.

4 Dekat saja Sabah dengan Sarawak!

Tanggapan sebegini bila disua kepada anak Sarawak dan Sabah, pasti mencetuskan ketawa. Dekat macam Negeri Sembilan dan Melaka? Bukan Sabah dan Sarawak, sebelah-menyebelah? Dekatlah tu! Maaf, tolong tengok peta. Untuk perspektif, jarak Kuching dengan Kota Kinabalu ialah sejauh 1,125.92 kilometer. Bandingkan pula Johor Bahru dengan Kangar, hanya 676km. Untuk menyamai jarak Kuching-KK itu, anda harus memandu dari JB melangkaui sempadan Thailand, hingga ke Krabi kira-kira 1,143.24 km.

 


5 Ada masjid di Sabah, Sarawak?

Ya, soalan sebegini masih kedengaran. Mungkin salah Sabah, Sarawak sendiri sebab dalam promosi melancong ke negeri, tidak mengetengahkan sangat aspek tersebut. Imej rumah panjang dan Gunung Kinabalu lebih terang dan nyata dipaparkan.

Pada Januari 2009, seorang sarjana berasal dari Sarawak dilantik sebagai mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang berkhidmat sehingga akhir 2014. Selain berjaya mencetuskan bibit-bibit silatur rahim antara orang Sarawak dengan orang Perlis sehingga kini, kisah Dr. Juanda tersebut membantu menjawab soalan-soalan berkaitan syiar dan amalan agama yang teguh serta mekar di sana.

 

 

6 Masih tinggal di atas pokok?

Setelah beberapa lama tinggal di Kuala Lumpur, bila ada insan bertanya soalan ini, reaksi saya bercampur-baur. Hendak menangis ada, hendak ketawa pun ada. Bukan kerana lucu tetapi kasihankan kecetekan minda. Sepantas itu juga insan itu disarankan untuk melawat Sabah dan Sarawak. Yang tinggal atas pokok hanyalah orang utan. Silalah berziarah, buka sikit minda.

7 Benarkah toleransi kaum lebih kuat pada orang Sabah/Sarawak?

Secara umumnya, benar. Ini kerana dari kecil, kawasan perumahan mengandungi pelbagai kaum, sehinggalah ke alam persekolahan. Malah dalam kelompok orang Melayu Islam itu sendiri terdapat pecahan kumpulan etnik seperti di Sarawak iaitu Melayu, Melanau, Kedayan dan Jawa. Medan makanan popular Top Spot di Kuching contohnya, dikendalikan hampir 100% peniaga Cina. Namun, ramai orang Islam makan di situ. Ini kerana peniaga Cina mengakui tidak menggunakan bahan masakan yang tidak sesuai kepada orang Islam. Kalau di Semenanjung, mungkin lambat sikit hendak meyakinkan.

8 Kenapa orang Sabah/Sarawak fasih berbahasa Inggeris?

“Ini disebabkan raja Sarawak selama 100 tahun ialah keluarga Brookes”. Sabah pula dinaungi British North Borneo Company. Tak, ini hanya seloroh. Saya tiada bukti kajian saintifik punca Sabah dan Sarawak fasih berbahasa Inggeris.

Secara umumnya, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Jika bersahabat ramai dengan pelbagai kaum, individu itu akan menguasai atau paling tidak, memahami sepatah dua perkataan kaum lain. Namun dalam urusan rasmi, penggunaan bahasa Inggeris memang masih lazim digunakan terutama dalam surat menyurat. “No hal lah”.

 

9 Perkahwinan campur

Perkahwinan campur adalah satu ciri istimewa masyarakat di kedua-dua negeri yang membuktikan sikap mereka amat terbuka dalam soal jodoh. Yang penting anak bahagia. Kahwinlah apa kaum atau agama sekali pun. Tidak menjadi masalah. Jarang sekali mendengar wujud kisah membantah perkahwinan luar kaum atau agama sehingga membawa kepada pergaduhan besar, bunuh membunuh. Generasi kedua, ketiga hasil perkahwinan campur inilah merupakan sahabat anda hari ini dan mungkin mendidik anda definisi sebenar tolak-ansur dan integrasi nasional.

10 Kenapa ramai orang Sabah/Sarawak putih-putih?

Orang Sarawak sendiri tidak pasti hendak anggap pernyataan itu satu pujian atau sebaliknya. Ini kerana ada juga yang kuning-kuning, coklat-coklat, sawo matang. Seorang sahabat menunjukkan gambar Kumang Gawai/Unduk Ngadau. Itu pertandingan ratu cantik. Haruslah.

Tetapi jangan tidak tahu, kaum lelaki Sabah dan Sarawak pun tidak kurang tarikannya. – SM

(Visited 1,088 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button