Merrepak

Ada lagikah PN selepas 18 Mei ini?


PADA 7 Mei lalu, semasa membelek-belek Twitter mata saya tercangkuk pada tajuk berita `Fugitive caught after blowing his cover with fart’ atau `Penjenayah yang diburu berjaya ditahan setelah kantoi dari tempat persembunyian selepas kentut’.

Ada terjemahan lebih pendek, saja saya Merrepak bagi versi panjang. Kalau masih tak faham, sila google translate sendiri.

Lazimnya, berita-berita ringan sebegini saya lepaskan saja tetapi ia dilaporkan oleh BBC News. Ini bukan kaleng-kaleng. Serius cerita kentut ini sehingga media seserius BBC pun menyiarkannya.

Sumber berita BBC News itu adalah nukilan polis sendiri di laman Facebook yang menceritakan kes yang agak melucukan itu. Selain `fart’, istilah lain dalam bahasa Inggeris untuk menggambarkan kentut ialah `breaking wind’.

Polis West Bassetlaw di Nottingham, United Kingdom menulis: Wanted man almost gone with the wind. Terjemahan: “Lelaki dikehendaki hampir terlepas seperti angin. Tetapi jika dibaca lain: lelaki dikehendaki hampir terlepas dengan kentut’’.

Semasa mengejar penjenayah, Konstabel Fenton mengaku sudah habis stamina dan berhenti di satu kawasan semak di Brookside Walk. Semasa tercungap-cungap itu, beliau terdengar bunyi yang mirip kentut. Fenton mencari punca bunyi tersebut di kawasan semak dan mendapati lelaki itu menyorok di situ.

Sudah tentulah bila disiarkan dalam talian ia mencetuskan reaksi kelakar daripada orang ramai. “Polis sememangnya boleh menghidu semua benda!’’ tulis seorang lelaki.

Tiadalah luar biasa sangat cerita  di atas. Cuma teringat-ingat semula bila membaca al-kisah apa akan berlaku pada 18 Mei ini yang gegak gempitanya sudah meletus sejak 4 Mei lalu. Apakah kaitannya dengan cerita polis dan kentut ini?

MANA DAP?

Pertama, baharu sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, nampaknya tidak sabar-sabar pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahu merebut kuasa. Malah mereka tidak menyoroknya. Mereka mahu memberitahu bahawa untuk kesekian kalinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menumbangkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hairannya, kali ini tiada pula pemimpin DAP di dalam gambar. Amanah pun entah ke mana. Bagi penganalisis politik, ia jelas menunjukkan `perang seterusnya’ ialah memenangi undi orang Melayu yang disedari PH tidak akan berjaya, jika mereka memaparkan wajah DAP.

Menurut penganalisis lagi, semasa pentadbiran PH selama 22 bulan, DAP telah berjaya menjarak-jurangkan orang Melayu daripada terus menyokong PH dengan segala keputusan dan perbuatan.

Persoalannya, apakah `sudah terlambat’ atau `masih sempat’ untuk Mahathir dan Anwar menyakinkan rakyat bahawa mereka berdua adalah sebaik-baik gandingan untuk menyingkirkan Muhyiddin sekarang ini?

SUDAH TERLAMBAT

`Sudah terlambat’, bermaksud rakyat tidak lupa bahawa hanya Februari lalu, Mahathir didesak oleh pemimpin-pemimpin komponen PH dalam satu mesyuarat yang khabarnya, siap dengan suara tinggi dan meja dihentak-hentak, supaya melepaskan jawatan agar Anwar boleh mengambil alih.

`Sudah terlambat’ juga didefinisikan: rakyat berasa muak dan tidak percaya gandingan Mahathir-Anwar ini sama sekali selepas mereka diberi peluang mentadbir Malaysia sejak memenangi PRU-14 pada 8 Mei 2018.

Sejak itu, Mahathir terus-menerus enggan mengesahkan bila hendak melepaskan jawatan seperti dijanjikan, menyebabkan Anwar semakin membara, konco-konconya di dalam PH sama membara. Itu rakyat tahu. Pada zaman digital ini, benda-benda tak puas hati mana boleh disorok.

`Sudah terlambat’ juga berkait rapat dengan suasana rimas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang. Rakyat di seluruh negara baru hendak menarik nafas lega bila PKP dilonggarkan. Ditambah lagi dengan bulan puasa, umat Islam masih tidak dibenarkan beribadah di surau dan masjid. Dalam serba ketidakselesaan sekarang, apakah rakyat ada selera hendak beralih kepada politik?

Faktor ini dirumitkan lagi dengan hakikat rakyat pada umumnya, menyenangi cara pentadbiran Muhyiddin menyenggara dan menangani pandemik COVID-19. Memang ada satu dua isu berbangkit, tetapi tidak serius.

Ini mendatangkan tanda tanya juga kerana PH memilih sewaktu rakyat masih dibelenggu COVID-19 untuk merampas kembali kuasa dan cubaan ini dilakukan semasa populariti Muhyiddin dalam kalangan rakyat berada pada tahap yang tinggi.

MASIH SEMPAT

Maka `masih sempat’ dikategorikan cubaan PH menyingkirkan kerajaan PN secara matematik iaitu majoriti mudah seperti yang dinikmati PN sekarang iaitu kelebihan kira-kira empat kerusi. Ini mendorong rakyat berimaginasi bahawa PH hanya akan berjaya mencapai matlamat itu bila ada wakil rakyat PN melompat parti atau khianat. Mana ada cara lain lagi?

`Masih sempat’ juga bermaksud, kaedah menyusupkan kebenaran usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dijangka berjaya mencetuskan permulaan kepada penggulingan beliau dan PN. Sudah ada pihak menyalahkan Muhyiddin kerana tidak segera memecat Speaker Dewan Rakyat.

`Masih sempat’ kerana PH percaya rakyat menolak kerajaan Muhyiddin yang dilabel sebagai kerajaan pintu belakang dan bakal mengembalikan hak memerintah kembali kepada PH. Apa yang terjadi pada Februari dan Langkah Sheraton, itu tidak menjadi hal. Melayu mudah lupa, kan?

`Masih sempat’ diyakini oleh gandingan Mahathir-Anwar kerana mereka berdua telah `membuang’ jauh-jauh persengketaan dan ini membuka laluan kepada Anwar untuk akhirnya merealisasikan impian menjadi Perdana Menteri Malaysia. Soal rakyat percaya atau sebaliknya, itu belakang cerita.

`Masih sempat’ kerana PH melihat Muhyiddin tidak menerima sokongan ikhlas UMNO-Pas dan parti komponen lain. Malah parti Muhyiddin sendiri tidak bersatu, dengan empat wakil rakyat menyebelahi Mahathir. Selagi Muhyiddin tidak melaksanakan affirmative action di dalam parti dengan memecat pihak yang tidak menyokongnya, selagi itu Bersatu sentiasa berdua.

BUBAR PARLIMEN

Maka, jalan terbaik ialah bubarkan parlimen dan adakan pilihan raya sekarang supaya rakyat boleh memilih semula siapa yang mereka mahukan. Tetapi seeloknya, tunggulah pandemik Covid-19 ini benar-benar dapat dibendung. Biarlah semua jentera kerajaan beri fokus sepenuhnya selamatkan nyawa. Tahu tak betapa leceh berpolitik masa wabak sebegini? Leceh nan teramat! – SM

(Visited 336 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button