Nasional

Wan Rosdy dan 10 EXCO Pahang potong gaji 10% selama tiga bulan

KESEDIAAN 10,000 penjawat awam Pahang memotong gaji untuk disumbangkan kepada Tabung COVID-19 Pahang disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Hari ini Wan Rosdy disertai barisan Exconya bersetuju memotong 10 peratus gaji selama tiga bulan bermula April ini.

Keputusan pemotongan gaji itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Kuantan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Wan Rosdy berkata, potongan gaji itu akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung COVID-19 Pahang yang dilancarkan Kerajaan Pahang.

“Keputusan ini diambil sebagai rasa bertanggungjawab dan tanda simpati ahli MMK terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya yang terkesan dengan wabak COVID-19.

“Semoga dengan potongan serta sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil dan turut menyumbang kepada tabung ini,” kata beliau.

Hasil sumbangan 10,000 penjawat awam Pahang itu yang diumumkan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak semalam, dianggarkan berjumlah RM100,000 sebulan.

“Usaha itu adalah pengorbanan penjawat awam di Pahang dalam menunjukkan solidariti bersama rakyat Pahang,” kata Dr Sallehuddin. – SM

(Visited 460 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button