JenayahNasionalNegeri

Zon Maritim Kuala Perlis tahan dua nelayan guna pukat rawa sorong

Ikan yang ditangkap menggunakan pukat rawa sorong yang diharam dirampas. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

MASIH ada lagi nelayan yang berdegil, sanggup menggunakan pukat rawa yang diharamkan kerana ia merosakkan ekosistem hidupan laut.

Berikutan itu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis sentiasa mengawasi perairan dari dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini apabila melakukan aktiviti yang mengakibatkan kepupusan sumber ikan.

Ternyata dengan rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 oleh pasukan Zon Maritim Kuala Perlis telah berjaya menyekat aktiviti penggunaan pukat rawa sorong.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, seorang tekong berusia 26 tahun dan seorang awak-awak, 27 yang merupakan rakyat tempatan ditahan setelah dikesan menggunakan pukat rawa sorong bagi menangkap ikan

Beliau berkata, keduanya ditahan bersama bot fiber yang dikesan melakukan aktiviti dilarang itu pada kedudukan sekitar 1.19 batu nautika dari barat daya Sungai Padang, Perlis sekitar pukul 8.10 pagi semalam.

“Pasukan rondaan telah menghampiri bot fiber berkenaan setelah mendapati sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Hashim berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati yang bot fiber terbabit adalah berpengkalan di Sungai Padang, Perlis.

Bot fiber yang digunakan dua nelayan menangkap ikan guna pukat rawa sorong juga dirampas. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Berikutan itu, katanya bot fiber dan hasil laut dianggarkan bernilai hampir RM17,000 bersama-sama dua suspek dibawa masuk ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11 (3) (c) iaitu memasang, atau menyebabkan dipasang, apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Pasukan Zon Maritim Kuala Perlis memeriksa bot fiber yang menggunakan pukat rawa sorong bagi menangkap ikan. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian MERS 999. – SM

BACA Satu jam Muhammad Faris berpaut pada pelampung pukat ikan, menangis, minta tolong

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button