Nasionalpilihan

Zambry arah UM batal program dihadiri profesor pro-Israel, Bruce Gilley

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengarahkan Universiti Malaya (UM) membatalkan semua program yang dihadiri profesor pro-Israel, Bruce Gilley.

Beliau turut meminta universiti berkenaan untuk menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum dan memandang serius isu yang berlaku berhubung tindakan seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan yang dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.

“Susulan itu, saya mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah itu dibatalkan segera,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau juga mengingatkan setiap agensi dan institusi di bawah kementeriannya agar peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.

Jelasnya, setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan.

“Walaupun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

UM telah menjemput Gilley yang merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat yang dalam ucapannya menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.

Gilley, pernah menimbulkan kontroversi kerana mendokong tindakan kuasa baraf menjajah negara lain, berkata ahli politik Malaysia mahukan “Holocaust kedua”, atau pembunuhan ramai-ramai terhadap bangsa Yahudi.

Gilley turut menyerang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button