Nasional

Wanita hamil penerima vaksin ke-3 juta

Lebih tiga juta rakyat Malaysia kini telah disuntik dengan vaksin Covid-19 dengan penerima ketiga juta merupakan seorang wanita hamil dari Lenggong, Perak.

Nur Amalina Baharuddin menerima suntikan vaksin ketiga juta itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna, Gerik pada pukul 3 petang semalam.

“Alhamdullilah, saya bersyukur dan teruja kerana sejak subuh saya periksa MySejahtera dan dapat temujanji hari ini juga.

“Pada siapa-siapa yang belum lagi mendaftar vaksin segeralah berbuat demikian bagi mencapai komuniti berkelompok yang sihat seperti sebelum ini. Siapa yang sudah dapat janji temu, pergilah ambil suntikan. Jangan tak ambil,” pesan beliau.


Nur Amelina yang disuntik dengan vaksin keluaran Pfizer pada mulanya memperoleh janji temu asal di Kuala Lumpur kerana mendaftar alamat di ibu negara.

Beliau bagaimanapun menetap di tempat kelahirannya di Lenggong buat sementara waktu kerana suaminya sedang bekerja di luar pantai.

Dia telah menghubungi Pusat Panggilan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk memohon pertukaran janji temu ke tempat penetapannya terkini.

Beliau memperoleh janji temu baharu dalam masa dua jam iaitu pada 12.40 tengah hari di aplikasi MySejahtera.

Pemberian vaksin kepada Nur Amalina yang sedang hamil berjalan lancar setelah mendapat nasihat perubatan daripada doktor yang bertugas.

 

 

 

 

 

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button