Politik

UMNO yakin Pas masih bersama dalam MN

UMNO menafikan sebarang tuduhan mengatakan Pas tidak bersetuju dengan parti itu dan mengenakan syarat kerjsama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya parti terbesar masyarakat Melayu itu yakin dengan piagam yang dimeterai oleh kedua-dua mereka bagi mendirikan Muafakat Nasional (MN).

Penegasan itu dibuat susulan terdapat dakwaan mengatakan Pas memberi ‘kata dua’ kepada UMNO supaya menerima Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Ia dikatakan sebagai syarat kepada UMNO untuk meneruskan persepakatan dengan Pas dalam MN terutama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Malah, dakwaan sedemikian juga sengaja direka pihak tertentu untuk memecahbelahkan kerjasama antara Pas dan UMNO.

“UMNO yakin PAS tidak akan memaksa UMNO untuk menerima BERSATU apalagi memberikan kerusi kepada BERSATU dengan sewenangnya.

“Kerana itu, saya yakin bahawa kenyataan bahawa ‘Pas tidak akan bersama UMNO tanpa Bersatu’ oleh seorang yang bukan jurucakap Pas, tidak mewakili pendirian Pas.

“Ia datang dari seorang yang hanya ingin meyelamatkan Bersatu dan memecah-belahkan MN.

“UMNO dan Pas menyedari bahawa kepentingan tertinggi ialah rundingan kerusi pilihan raya antara keduanya sebagai sebahagian dari MN.”

Demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau dalam masa sama memaklumkan sebarang rundingan dengan PN dan Bersatu hanya akan melalui BN termasuklah dalam menghadapi PRU akan datang.

Dalam pada itu, beliau juga menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan Pas, malah jika ada kenyataan yang bertentangan dengan MN yang dikeluarkan pemimpin parti masing-masing disifatkan hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti.

“UMNO dan Pas adalah pendiri Muafakat Nasional. Semenjak Muafakat Nasional diasaskan, kerjasama UMNO dan Pas adalah sangat utuh.

“UMNO sangat menghargai setiakawan Pas dan kerjasama keduanya telah banyak membuahkan kebaikan kepada politik Melayu Islam di Malaysia.

“Walaupun Pas menyertai PN, UMNO tidak menghalangnya kerana UMNO memahami dan menghormati kedudukan Pas . Lagipun piagam Muafakat Nasional tidak pernah menghalang Pas bekerjsama dengan sesiapapun.

“Maka demikian juga yang UMNO harapkan dari Pas tentang hubungan UMNO dengan Bersatu,” katanya. – SM

(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button