Belang Bertempat

UMNO, PN sedang dihancurkan dari dalam

SEMUA pihak tidak berasa bersalah. Semua kononnya berpegang kepada prinsip perjuangan. Semuanya kononnya berjuang demi masa depan parti dan rakyat.

Itulah politik. Bila Belang bertemu dengan beberapa ahli politik yang masih berkira-kira dan mencongak untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, ramai yang mengakui politik ada candunya.

Selepas kalah tempoh hari, ramai yang berazam untuk mengasingkan diri daripada politik dan memberi tumpuan kepada kerjaya profesional masing-masing.

Tapi suasana politik masa kini menyebabkan orang politik kepanasan jika tidak melibatkan diri. Jika tidak aktif di lapangan sekali pun, ada yang memilih untuk aktif di media sosial.

Memang media sosial lebih mudah untuk mencapai sasaran khalayak, tetapi tidak semua orang mampu menguasainya. Sesetengah menggunakan pasukan penasihat untuk melaksanakan kerja-kerja di media sosial.

Sesetengah pula dek kerana perasan pandai cuba-cuba menjaring pengaruh di media sosial, tetapi gagal.

Selain pemimpin yang mampu menebar pesona, di media sosial juga memerlukan kebijaksanaan untuk mengemukakan buah fikiran supaya dapat diterima oleh majoriti warga jaringan maya.

Kebelakangan ini para pemimpin UMNO peringkat bawahan sama ada mewakili diri sendiri atau bos masing-masing cenderung untuk bergaduh sesama sendiri di media sosial.

Kalau istilah Melayu adalah: Mencuci kotoran dikhalayak ramai atau Membuka pekung di dada.

Biasanya ahli politik tidak berjawatan ibarat ayam kampung yang bebas mencari makan, tidak menghiraukan apa kata orang kerana setiap hari dia perlu mengais untuk makan.

Bagi ahli politik yang sempat bernaung di bawah pohon teduh setelah diberi jawatan mereka menjadi seperti lembu yang kenyang, mengunyah tanpa henti di bawah pohon beringin nan rendang.

Lembu kenyang ini tidak peduli apa yang berlaku sekeliling dan akan terus mengunyah, hinggalah apabila ada berok yang cuba mematahkan mematahkan pohon rendang tempat berteduh.

Ketika ini mulalah segala macam jurus dan pencak digunakan untuk menumpaskan lawan.

Cara yang paling mudah adalah menghamburkan kata-kata cercaan dan mendedahkan aib lawan.

Tanpa disedari ayam sabung dan lembu kekenyangan ini mereka menjadi alat untuk merobohkan kesepakatan dari dalam.

UMNO itu tidak akan dapat diruntuhkan dari luar, jadi orang dalam harus digunakan untuk menjayakannya.

Cara paling mudah adalah melagakan mereka di dalam kadang kekuasaan dengan mereka yang berada di luar kelaparan dan dahagakan kuasa dan sebagainya.

Pakatan Harapan (PH) tempoh hari tumbang selepas 22 bulan berkuasa juga kerana pendekatan yang sama. Dan sudah tentulah ia digerakkan oleh pihak lawan.

Kini racun yang sama mulai memakan diri mereka sendiri dan sama ada sedar atau tidak ia sukar dijauhi dan sukar diubati.

Langkah awal perlu diambil adalah pihak atasan perlu bersepakat dan bukannya di atas kertas semata-mata, tetapi diterjemahkan hingga ke akar umbi.

Pas, UMNO dan Bersatu adalah sahabat. Jelas dan nyata. Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) telah dibentuk.

Jangan pagi para presiden tandatangan kesepakatan. Petangnya serangan baharu dilancarkan.

Pagi presiden isytiharkan gencatan senjata politik, pagi itu juga tikaman demi tikaman dari belakang berlaku.

 

(Visited 1,824 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button