Pendidikan

UM, UPM, UKM, USM dan UTM dalam kelompok 200 terbaik dunia

BUAT julung kalinya lima buah universiti awam Malaysia tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia.

Laporan dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021 meletakkan Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam kedudukan membanggakan.

UM berada di tempat ke-59 dalam senarai universiti terbaik dunia berbanding di tempat ke-70 pada tahun 2019.

UM telah berjaya disenaraikan dalam kedudukan 100 universiti terbaik sejak tahun 2018 iaitu tujuh tahun lebih awal daripada sasaran malah berjaya mengekalkan dan meningkatkan kedudukan setiap tahun sehingga ke kedudukan hari ini.

UPM di kedudukan ke-132, UKM di kedudukan ke-141, USM di kedudukan ke-142 dan UTM di kedudukan ke-187.

Pada siri penarafan kali ini 20 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu 12 buah universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, 6 buah universiti mengekalkan kedudukan dan 2 buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas.

Selain dari itu, 11 lagi institusi pendidikan tinggi tempatan awam dan swasta juga berjaya disenaraikan di dalam senarai ‘top 1000’ QS World University Rankings 2021

Universiti terbabit adalah Management and Science University (MSU), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sunway University, Universiti Tenaga Nasional
(UNITEN), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Multimedia University (MMU), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bagi universiti swasta Taylor’s University mendahului di
kedudukan ke-379 diikuti oleh UCSI University di kedudukan 391 dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di kedudukan 439.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata, kedudukan tersebut merupakan kejayaan terbaik negara

Pencapaian tersebut juga membuktikan hala tuju pendidikan tinggi negara berada di atas landasan yang betul dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi yang berkualiti dan cemerlang sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT).

“Kejayaan ini secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi di rantau ini.

“Di samping itu, ianya juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia,” kata kenyataan tersebut.

Dalam Laporan QS juga dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini.

Sistem pendidikan negara telah diiktiraf dalam kalangan ahli akademik dan majikan di peringkat antarabangsa.

(Visited 1,073 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button