fbpx
Politik

Tun M tidak beri sokongan pada ‘calon yang ingin jadi PM’

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil menafikan dakwaan kononnya beliau menyokong calon yang ingin menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau sama sekali tidak pernah menyatakan sokongan kepada sesiapa pun untuk menjadi perdana menteri.

“Saya diberitahu bahawa kononnya saya menyokong seseorang daripada calon yang ingin menjadi Perdana Menteri.

“Saya ingin nyatakan bahawa saya tidak pernah memberi sokongan kepada sesiapa pun sebagai calon untuk menjadi perdana menteri,” kata Dr. Mahathir dalam satu video ringkas yang dikongsi di media sosialnya.

Dr. Mahathir berkata, parti yang diterajuinya iaitu Pejuang, juga tidak akan menyokong mana-mana pihak yang mempunyai hasrat untuk mendapatkan imbuhan.


“Saya sendiri berada dalam parti baru saya iaitu Pejuang dan parti ini bebas tidak ada kaitan dengan mana-mana parti atau pun individu yang mempunyai cita-cita untuk mendapat sesuatu jawatan.

“Saya harap tidak ada lagi percubaan menyatakan kononnya (saya) sudah sokong si polan si polan. Tak ada sokongan. Terima kasih,” kata Dr. Mahathir.

Dalam kenyataan tersebut Dr. Mahathir tidak menamakan mana-mana individu atau parti yang menggunakan namanya untuk menyokong calon yang ingin menjadi perdana menteri.

Setakat ini Pakatan Harapan telah memgemukakan dua nama sebagai calon perdana menteri iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Mohd. Apdal.

Manakala di pihak Perikatan Nasional, hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja yang dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya pilihan raya umum ke-15 berlangsung.

Kenyataan Dr. Mahathir itu dibuat selepas beberapa jam Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan akuan bersumpah dan dokumen sokongan ketua-ketua parti kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk mengambil alih kerajaan daripada pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Istana Negara bagaimanapun dalam kenyataan memaklumkan, Anwar hanya sekadar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Istana Negara, tanpa mengemukakan sebarang senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button