Nasional

Memorandum pindaan akta pemandu mabuk, dadah ke Kabinet minggu depan

MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan membawa Memorandum Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) ke Kabinet minggu depan.

Menurutnya, pindaan itu akan menyaksikan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah atau secara berbahaya (DUI)

Ka Siong berkata, pihaknya komited untuk mengenakan hukuman yang lebih berat supaya tiada lagi yang berani memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara merbahaya.

“Tragedi kemalangan jalan raya akibat DUI seperti apa yang menimpa Nurul Huda ini mengundang kesedihan yang amat memilukan kepada keluarga mangsa.

“Berita sebegini menguatkan lagi tekad untuk memerangi pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara merbahaya.

“Saya akan membawa Memorandum kepada Kabinet untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap DUI pada minggu depan agar tragedi sebegini tidak berlaku lagi atau sekurang-kurangnya dapat dicegah secara drastik,” kata Ka Siong.

Pada 20 Jun lalu, Nurul Huda Arifin, 31 yang mengandung 5 bulan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan membabitkan kereta dinaikinya dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 72, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, di sini, malam tadi.

Turut maut dalam kemalangan itu ialah suami Nurul Huda, Abdul Hakim Hashim, 32, dan anak bongsu mereka, Adib Aidan, 2, yang kedua-duanya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
Nurul Huda sekeluarga  menjadi mangsa pemandu  positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pembalak, direman selama empat hari bermula hari ini, selain semakan mendapati suspek turut mempunyai 27 saman lampau dan empat saman yang belum dijelaskan atas pelbagai kesalahan trafik, terutama memandu laju.

Akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000, jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 44 (a) Akta 333 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyebabkan kematian.

Hukuman sama turut diperuntukkan bagi individu disabit bersalah mengikut Seksyen 44 (b) Akta 333 kerana memandu dengan kandungan alkohol dalam badan, nafas, darah atau air kencing melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian.

Seksyen 45A (1) Akta 333 memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara maksimum setahun, jika disabit kesalahan kerana memandu, cuba memandu atau menjaga kenderaan ketika mabuk.-SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button