NegeriRencah Hidup

Tuah Kampung Wai berubah wajah mempersonakan bagai “alam baharu”

HARGAILAH apa yang ada disekeliling kita, ia akan nampak cantik yang sangat luar biasa jika ia benar-benar dihayati.

Begitu juga dengan tempat-tempat yang menarik, masih banyak lagi boleh dikunjungi dengan pemandangan yang jauh lebih indah sebenarnya dari tempat orang.

Sebuah lagi tempat di Perlis yang bakal menarik perhatian di kalangan pencinta alam adalah Kampung Wai di Kuala Perlis bagaikan sebuah “alam baharu” yang sangat mempersonakan.

Terpukau penulis menyaksikan pemandangannya apabila menjejakkan kaki buat kali pertama kali di tepi terusan ini yang bersebelahan mercu tanda “Kampung Y” oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis.


Tanya penulis kepada seorang teman, adakah kita sekarang ini berada di Kampung Wai atau di “alam baharu” yang lain.

Mana tidaknya air terusan ini yang berwarna kehijau-hijauan mengalir tenang antara bukit-bukau batu kapur yang menambahkan lagi keindahan pemandangannya.

Siapa sangka kawasan yang memukau ini adalah bukit batu kapur yang berusia 500 juta tahun.

Sebenarnya projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh oleh kerajaan telah mengubah sama sekali landskap di Kampung Wai.

Ia melibatkan pembinaan terusan sepanjang tiga kilometer dari Kampung Wai ke muara Kuala Perlis.

Kampung yang dipisahkan oleh Bamjaran Nakawan yang bersebelahan sempadan Thailand ini dahulunya sepi kini bakal dikenali dengan adanya terusan.

Bukit berdekatan mercu tanda ini pada asalnya sebuah bukit yang kemudiannya dipisahkan bagi pembinaan terusan yang menuju terus ke laut Kuala Perlis.

Terusan ini disambung dengan terowong sejauh 765 meter di Kampung Tebing Tinggi, Bintong.

Projek mega ini dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir besar yang melanda negeri ini.

Berhampiran mercu tanda ini juga dibina sebuah jambatan bagi menyambungkan dengan kawasan penempatan disebelahnya.

Sementara itu, salah seorang yang ditemui, Ratna Mulaya Lamak, 30, mengakui walau tinggal di Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, inilah pertama kali dia ke tempat ini.

“Saya hanya melihat keindahan tempat ini yang dipaparkan di media sosial,” katanya.

Ratna mengakui, dia sangat kagum melihat keindahan tempat sendiri yang seolah-olah bagai berada dalam satu “alam baharu” yang pastinya berpotensi jika ditambah baik bagi tujuan pelancongan. – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button