Nasional

TNB sumbang RM250,000 kepada mangsa banjir di Pahang

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang sejumlah RM250,000 kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kunjungan hormat di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

Sumbangan itu sebagai sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat TNB bagi meringankan beban mangsa banjir yang terjejas teruk.

Pengerusi TNB itu berada di Pahang hari ini bagi lawatan kerjanya termasuk menghadiri taklimat situasi banjir di Stesen Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuantan Utara.

Bercakap kepada media selepas taklimat itu, Mahdzir berkata, TNB telah menutup sejumlah 306 pencawang elektrik di negeri Pahang sejak bencana banjir melanda negeri itu.


Menurutnya, daerah Temerloh yang paling teruk terjejas, mencatat jumlah paling tinggi iaitu 65 pencawang ditutup.

”Tenaga Nasional telah berusaha untuk memperbaiki ataupun mendapatkan semula bekalan elektrik di semua kawasan di semua daerah yang terlibat dengan banjir ini… Pihak TNB telah berusaha untuk buka dalam tempoh tiga hari ni dari empat hari sudah, TNB sedang berusaha dan sekarang ini yang berbaki 106 di negeri Pahang”.

Tindakan menutup pencawang itu katanya, perlu bagi memastikan keselamatan pengguna dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Tambah beliau, TNB juga mengambil langkah tambahan dengan membekalkan set generator ke kawasan-kawasan terjejas banjir termasuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“TNB juga telah membekalkan setakat ini genset besar 8, kebanyakan tempat untuk pembekalan sementara elektrik dan juga membekalkan genset-genset kecil yang dihantar, ini tempat yang tak boleh kita pergi, kena pakai bot, kena hantar dengan pengangkutan air”.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa semua kawasan mengalami masalah bekalan elektrik. Sebaliknya tegas beliau, TNB hanya menutup pencawang di kawasan yang terjejas banjir sahaja.

“Tentang beberapa perkara yang ditularkan, jadi saya kira bahawa apapun berkaitan dengan TNB ini eloklah rayuan saya kepada masyarakat supaya merujuk kepada kenyataan rasmi daripada TNB, contoh dikatakan TNB akan tutup bekalan elektrik, jadi yang ditulis dalam media tu sila sediakan lilin, sediakan lain-lain cara lah untuk bekalan di rumah, saya nak katakan bahawa itu adalah kenyataan yang tak betul”.

TNB juga tegas Mahdzir, tidak melepaskan air di empangan kendaliannya di Cameron Highland yang menyebabkan keadaan banjir di negeri Pahang bertambah buruk.

Dalam lawatan kerja itu, Mahdzir turut menziarah rumah kakitangan TNB yang menjadi mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan.

(Visited 251 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button