Nasional

Mahkamah tolak petisyen BN terhadap DUN Sungai Udang

MAHKAMAH Pilihan Raya Melaka hari ini, menolak petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Azman Abdullah, memutuskan demikian selepas meneliti dan mendengar keterangan 20 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 24 Mac hingga 20 April lepas.

Peguam, Rosli Dahlan, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, berkata mahkamah memutuskan tuduhan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengurus pilihan raya DUN Sungai Udang dan Dr Aleef, berkaitan penyelewengan dalam pengundian ketika PRN Melaka pada 20 November lalu adalah tidak benar.

“Dua tuduhan berkenaan penyogokan mengenai rasuah oleh Dr Aleef juga tidak benar. Untuk itu mahkamah mendapati bahawa segala aduan tersebut tidak berasas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas keputusan itu di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini.

Rosli berkata, pihaknya bersyukur keputusan hari ini memihak kepada anak guamnya dan tiada asas untuk keputusan tersebut dibantah.

“Sebab itulah dari awal kita membuat bantahan awal bahawa kes ini tidak perlu dibawa kepada perbicaraan, namun kita hormati mahkamah yang mana keterangan dalam kes petisyen pilihan raya perlu didengar bagi memuaskan hati rakyat bahawa tiada penyelewengan, penyogokan dan rasuah dalam kes ini,” katanya.

Mohamad Ali yang diwakili peguam Amin Othman, Datin Rosfinah Rahmat, Wan Hamidah Wan Ismail dan Nor Hazira Abu Haiyan, tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada PRN Melaka 20 Nov tahun lepas, Dr Mohd Aleef yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti 530 undi selepas mendapat 6,789 undi, menewaskan Mohamad Ali yang mendapat 6,259 undi.

Pertandingan empat penjuru di kerusi Sungai Udang itu turut menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Hasmorni Tamby mendapat 2,035 undi dan calon Bebas, Mohd Zahar Hashim pula hilang deposit selepas menerima 471 undi sahaja.

Mohamad Ali yang tewas dalam PRN itu memfailkan petisyen pada 14 Dis lepas bagi membatalkan keputusan yang memihak kepada Dr Aleef.

Beliau memfailkan petisyen kepada tiga responden iaitu Dr Aleef, SPR dan pengurus pilihan raya bagi DUN Sungai Udang.

Perbicaraan petisyen pilihan raya telah bermula pada 24 Mac selepas mahkamah menolak bantahan awal yang dikemukakan ketiga-tiga responden itu. – BERNAMA

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button