Nasional

TNB sedia RM850,000 penuhi impian 17 asnaf miliki rumah sendiri

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sejumlah RM850,000 menerusi Program Baiti Jannati bagi menyediakan rumah kepada 17 asnaf terpilih di negeri ini.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek tersebut merupakan program tanggungjawab sosial TNB dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs).

“Projek ini bertujuan berkongsi kemakmuran bersama rakyat yang kurang bernasib baik supaya berpeluang menikmati kesejahteraan hidup,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah Baiti Jannati TNB di sebuah hotel, pada Khamis.

Mahdzir berkata, pada majlis itu, dua asnaf turut menerima bantuan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) yang dipilih melalui kerjasama pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) dalam mengenal pasti mereka yang layak, dengan peruntukan sebanyak RM100,000.


“TNB sangat prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan bantuan dan keperluan hidup terutama rumah kediaman yang lebih selesa untuk didiami agar kehidupan mereka bertambah baik dan selamat,” katanya.

Sebelum itu, Mahdzir turut menyampaikan wang zakat perniagaan TNB Perlis berjumlah RM309,340.11 kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – Bernama

(Visited 76 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button