Nasionalpilihan

Tiada notis arah peniaga berpindah – Rais Yasin

Kerajaan negeri menafikan pernah mengeluarkan notis perpindahan kepada peniaga di sekitar Bandar Hilir terutama di Pahlawan Walk seperti yang tular sebuah video di laman sosial Tik Tok berdurasi dua minit 55 saat.

Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, dakwaan dalam media sosial itu adalah tidak benar yang mengatakan seluruh peniaga di Pahlawan Walk berjumlah hampir 200 orang akan dipindahkan secara paksa.

Jelasnya, beliau yakin dan percaya tidak mungkin Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan pihak berkuasa negeri ingin membunuh sendiri ekonomi peniaga-peniaga di kawasan terbabit.

Tegasnya, perbuatan memviralkan berita yang tidak sahih menerusi media sosial itu disifatkan suatu tindakan tidak bertanggungjawab kerana memaparkan maklumat yang sebenarnya tidak benar.

“Saya ingin nyatakan dengan jelas tiada satu pun notis dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kepada peniaga di sekitar bandar hilir untuk berpindahkan ke tempat lain.

“Ini kerana kita masih dalam tempoh kajian. Ini adalah satu perancangan kerajaan negeri namun kajian mendalam kita akan lakukan lagi serta mengambil masa yang panjang.

“Setakat hari ini, saya sebagai Exco yang bertanggungjawab tiada sebarang notis dikeluarkan kepada mana-mana peniaga di Pahlawan Walk atau di mana-mana memang belum ada lagi,” ujarnya kepada pemberita selepas Program Menyatuni Peniaga Bandar Hilir di Dewan Taming Sari MBMB di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut Rais berkata, MBMB baru diberi mandat pada mesyuarat kerajaan negeri baru-baru ini untuk mengadakan sesi dialog dan perbincangan dengan seluruh peniaga yang terlibat termasuk pengusaha hotel di sekitar Bandar Hilir.

Menurutnya, tujuan kerajaan negeri ingin mewujudkan zon bebas kenderaan sejauh 2.4 kilometer (km) pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bertujuan untuk memastikan Melaka menjuarai bandar rendah karbon.

Beliau berkata, pada sesi dialog yang diadakan itu secara jelas mendapati ada peniaga yang menyatakan persetujuan dan ada sebahagian pula tidak bersetuju.

Justeru katanya, beliau akan turun padang untuk bertemu dengan seluruh peniaga yang terlibat untuk mendapat maklum balas sebelum keputusan dibawa pada mesyuarat kerajaan negeri sama ada akan melaksanakan cadangan itu atau pun tidak. – SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button