Luar Negara

Terbunuh akibat serangan dron, kematian jurukamera Al Jazeera dirujuk kepada ICC

Stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera, sedang menyediakan fail undang-undang untuk dihantar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung ‘pembunuhan’ salah seorang jurukamera agensi itu di Gaza.

Jurukamera, Samer Abu Daqqa, terbunuh akibat serangan dron Jumaat lalu, ketika melaporkan pengeboman di sebuah sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan bagi pelarian yang kehilangan tempat tinggal di selatan Semenanjung Gaza.

Al Jazeera berkata dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah sekolah terbabit, menyebabkan Abu Daqqa cedera dan meninggal dunia.

“Rangkaian itu menubuhkan kumpulan kerja bersama merangkumi pakar undang-undang antarabangsa, yang akan secara kolaboratif memulakan proses menyusun fail komprehensif untuk diserahkan kepada Pendakwa Raya mahkamah.

“Fail undang-undang itu juga akan meliputi serangan berulang ke atas kru rangkaian berita yang bekerja dan beroperasi di wilayah Palestin,” katanya.

Mengulas mengenai tragedi itu, tentera Israel menegaskan bahawa ia ‘tidak pernah dan tidak akan’ dengan sengaja menyasarkan wartawan.

Ia juga mengatakan bahawa untuk sesiapa kekal berada dalam zon pertempuran aktif ketika berlaku pertukaran tembakan, ‘akan wujud risiko’.

ICC sudah menjalankan siasatan berterusan terhadap sebarang jenayah di bawah bidang kuasanya yang dilakukan di wilayah Palestin dan oleh rakyat Palestin di wilayah Israel.

Pada 2021, Hakim ICC memutuskan bahawa mahkamah itu mempunyai bidang kuasa selepas pihak berkuasa Palestin mendaftar pada 2015 dan diberikan status negara pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC ke atas wilayah Palestin dan sebelum ini enggan bekerjasama dengan mahkamah.

Peperangan selama 10 minggu di Gaza memberi kesan buruk kepada wartawan, dengan sekurang-kurangnya 64 wartawan dan pekerja media terbunuh.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), menyeru pihak berkuasa antarabangsa untuk ‘menjalankan siasatan bebas ke atas serangan itu dan memastikan penjenayah bertanggungjawab’.

Seorang kru kereta kebal Israel membunuh wartawan visual Reuters, Issam Abdallah dan mencederakan enam wartawan di Lubnan pada 13 Oktober lalu dengan melepaskan dua das tembakan secara berturut-turut ketika wartawan itu sedang merakam tembakan rentas sempadan,

Tentera Israel berkata kejadian itu berlaku di zon tempur aktif dan kini sedang dalam semakan. – REUTERS

Artikel berkaitan > 39 rakyat Palestin dibebaskan dari penjara dalam perjanjian pertukaran tahanan

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button