Politik

Tak perlu layan Tony Pua – Zahid

SEREMBAN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan semua pemimpin parti itu supaya tidak melayan atau memberi sebarang reaksi terhadap kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup.

Ahmad Zahid berkata, ini kerana kenyataan itu bukan pandangan rasmi daripada kepimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya nak bagi pandangan, mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang ada pandangan berbeza kami tidak akan layan.

“Ini kerana itu bukan pandangan rasmi dari kepimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan dan saya telah beritahu jangan ada reaksi untuk membalas dan sebagainya dari pihak kita,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut Ahmad Zahid, jika isu tersebut terus ditimbulkan, ia akan menampakkan seolah-olah ia masalah besar.

Tambahnya, kenyataan dikeluarkan oleh Tony Pua itu bukannya menjadi dasar, pegangan atau ketetapan kepimpinan mana-mana parti.

“Pegangan kami, perundingan diadakan antara BN dan PH. Jadi saya berterima kasih kepada Anthony Loke Siew Fook yang telah keluarkan kenyataan yang beliau tidak ‘endorse’ pandangan berbeza sebagai pandangan parti.

“Kami juga berpendirian marilah kita ‘move forword’. Jangan nak membaling batu di rumah kaca,” katanya.

Tony pada Jumaat menggelar BN yang kini bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan korup.

Sehubungan itu, Tony menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sementara itu berkenaan perjumpaan diadakan, Ahmad Zahid berkata, parti telah memutuskan untuk menggunakan pendekatan kempen baharu.

Ujarnya, ada pendekatan yang perlu diperbaiki dan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah waktu paling sesuai untuk melakukannya.

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button