Politik

Tak mahu mengundi UMNO kerana “akan kafir sampai kiamat”

Warga emas dalam video kafir UMNO sudah nyanyuk, kata Naib Presiden PAS

KITA bukannya hidup di tahun 1980-an yang mana orang-orang atau ahli UMNO bukan sahaja serang menyerang dan bertegang leher disebabkan parti di Kelantan tetapi kafir mengkafir PAS terhadap UMNO pernah menjadi modal jajaan ceramah-ceramah politik.

Sekitar tahun 1983, di Kelantan, akan ada dua madrasah atau surau yang mana, orang-orang PAS tidak akan solat di madrasah UMNO dan begitulah sebaliknya. Bahkan pada tahun itu, kutbah Jumaat di corong radio di negeri Cik Siti Wan Kembang juga ada berbaur politik.

Tetapi itu semua kisah lama. Ini tahun 2023 dan sepatutnya tidak timbul lagi istilah kafir mengkafir terhadap mana-mana ahli parti yang bukan PAS dan berpolitik atau berceramahlah secara lebih matang, sesuai dengan usia!

Mengundi adalah hak peribadi dan apa yang mahu dituturkan oleh individu yang ditemubual di tepi-tepi jalan, terpulang kepada mereka nak cakap apa, nak sokong parti mana dan itu adalah satu kelaziman sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kalau yang mengeluarkan kata-kata kafir mengkafir itu adalah warga emas, anggaplah dia seorang pengikut tegar parti dan mungkin juga, nyanyuk!

Tidak hairanlah jika Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah menasihatkan semua pihak agar tidak menjadikan video seorang warga emas mendakwa UMNO kafir sebagai modal politik.

Katanya, beliau difahamkan wanita itu sudah nyanyuk dan keluarganya turut meminta video tular terbabit dipadamkan.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, jika dakwaan itu dibuat oleh pemimpin PAS berjawatan maka sudah tentulah ia akan menjadi isu besar tetapi disebabkan ia dikeluarkan oleh seorang wanita warga emas maka ia bukannya isu.

Benar, ia bukannya isu dan tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak kerana banyak lagi perkara yang boleh menjadi modal ceramah menjelang PRN Kelantan.

“Tidak sepatutnya kita ambil kesempatan. Orang PAS ni ada satu juta lebih…takkan kita nak ambil satu kenyataan dan orang ini (warga emas) tiada apa-apa jawatan.

“Macam mana kalau saya kata orang UMNO merompak, orang UMNO tak betullah…jangan terlalu kita ni murah menggunakan isu murahan untuk berpolitik,” kata Amar.

Amar berkata demikian ketika menjelaskan tentang isu seorang warga emas yang merupakan penyokong parti PAS yang dipercayai mengkafirkan parti lain dalam sebuah video tular, baru-baru ini.

Terdahulu, tular satu video di media sosial menunjukkan kehadiran seorang wanita menemui pengundi ketika berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN) tidak disambut baik oleh penduduk setempat.

Dalam video itu, seorang wanita warga emas memberitahu, dia tidak mahu mengundi UMNO kerana “akan kafir sampai kiamat”.

Susulan itu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin semalam memberitahu FMT, PAS tidak menganggap UMNO musuh, apatah lagi mengkafirkan mereka.

Beliau menyifatkan dakwaan kafir itu pandangan “tepi jalan” yang tidak boleh diambil kira kerana bukan dibuat kepimpinan tertinggi PAS selain video itu dipergunakan pihak tertentu untuk meraih undi ketika PRN.

Tegasnya, pendirian PAS berhubung isu “kafir-mengkafir” telah lama selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi. – SM

BACA Annuar Musa tiada dalam senarai calon PAS untuk PRN Kelantan

(Visited 287 times, 4 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button