NasionalNegeri

KPDN perluas skop OPS TIRIS 3.0 kuatkuasa barang kawalan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan pelaksanaan skop OPS TIRIS 3.0 tahun ini yang melibatkan barang kawalan berbanding tahun lalu hanya penguatkuasaan terhadap penyeludupan diesel bersubsidi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara barang kawalan itu seperti gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1 kilogram (kg), tepung gandum, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

Armizan Mohd Ali melakukan pemeriksaan ke atas barang yang disimpan di bonet kereta salah seorang pelancong di ICQS Padang Besar. – Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Perlis

Katanya, serentak itu penguatkuasaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 yang melarang mana-mana orang untuk mengeksport apa-apa barang kawalan tersenarai di bawah Jadual Pertama akan dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua pintu masuk sempadan negara.

“Langkah ini antara enam inisiatif yang dilaksanakan oleh KPDN dalam usaha membanteras ketirisan melibatkan barangan kawalan dan bersubsidi,” katanya pada sidang media.

Sebelum itu Armizan melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian sempena lawatan kerja di sini hari ini.

Armizan Mohd Ali – Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Perlis

Armizan berkata, KPDN juga akan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan melibatkan pemborong dan peruncit di sempadan.

“Kita juga akan melaksanakan pengauditan terhadap pemborong-pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan, bunkering dan syarikat-syarikat pengeksport bagi mendapatkan butiran sumber bekalan, pengedaran dan penjualan,” katanya.

Selain itu, katanya KPDN juga akan menempatkan pegawai penguat kuasanya di tujuh lokasi pintu masuk sempadan di seluruh negara.

“Penempatan berkala secara serta-merta ini akan melibatkan negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan sehingga penubuhan Single Border Agency (SBA).

Armizan menambah, pihaknya juga akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di sempadan negara bagi meningkatkan kawalan sempadan negara daripada aktiviti penyeludupan barang kawalan dan kawalan bersubsidi – SM

(Visited 77 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button