Politik

Masa berpolitik sudah berlalu – Anthony Loke

“WAKTU untuk berpolitik sudah pun berlalu dan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya semua pemimpin memberi kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat perlu disambut semua pihak,” kata Anthony Loke Siew Fook.

Setiausaha Agung DAP itu turut menggesa semua pihak untuk menumpukan perhatian kepada kerja dan berkhidmat untuk rakyat kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) telah pun tamat.

“Bagi saya itu peringatan yang baik kepada semua pihak supaya kita mesti bertanggungjawab bersama-sama membawa kestabilan politik kepada negara dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan inisiatif pas percuma ‘myBAS Konsesi’ di Terminal Satu, hari ini.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, Negeri Sembilan sudah ada sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti menang yang sangat selesa.

Beliau berkata, kemenangan gabungan itu di 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 12 Ogos lalu menunjukkan yang kerjasama itu diterima rakyat.

“Jadi dengan kekuatan ini maka kita boleh bawa kestabilan politik kepada negara dan bila Tuanku telah buat keputusan melantik Aminuddin (Datuk Seri Aminuddin Harun) sebagai Menteri Besar, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu ditanya berkenaan keterbukaan DAP berhubung lantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), Anthony berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan Menteri Besar yang akan membuat keputusan yang adil serta memuaskan hati semua pihak.

“Soal nisbah belum ditentukan dan seperti biasa akan ada perbincangan tertutup dengan parti masing-masing dan sudah tentu ia akan dibuat dalam masa terdekat dengan Menteri Besar.

“Jadi saya yakin yang perkara itu akan diputuskan dengan baik oleh Menteri Besar kerana beliau sudah ada lima tahun pengalaman (sebagai Menteri Besar),” katanya. – SUMBER SINAR HARIAN – SM

BACA Terkilan Ramasamy keluar parti, tiada hasrat rayu masuk semula-Anthony Loke

BACA Anthony Loke nafi dakwaan Hadi Awang wujud keretakan dalam kerajaan

 

(Visited 37 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button